Assalamualaikum wm bh. anda yang ada masalah agama atau ingin berkongsi pengalaman dan masalah boleh hubungi saya melalui blog ini untuk kita selesaikan bersama. Terima kasih.
Sebagai membuka tirai, teliti persoalan di bawah ini.
Ada orang tanya, mengapa umat Islam sering ketinggalan dalam semua bidang. Sedangkan orang bukan Islam terus maju. Menjawab persoalan itu, terdapat beberapa pandangan yang menyalahkan peribahasa Melayu "Beras secupak tak kan jadi segantang". Kata mereka, peribahasa itu menyebabkan umat Islam tidak mahu berkerja bersungguh-sungguh kerana sekuat manapun berkerja, rezeki sudah ditentukan secupak sahaja. Ada juga yang berkata umat Islam tidak boleh bekerja kuat kerana sabda Rasulullah: "Dunia adalah penjara pada orang mukmin dan syurga pada orang kafir." Jadi umat Islam tidak boleh hidup bebas seperti orang kafir. Dengan orang Islam tetap ketinggalan. Ada juga pendapat yang menyatakan umat Islam terlalu ditakut-takutkan dengan neraka, sehingga mereka tidak berani untuk melakukan perubahan untuk kebaikan mereka. Mereka terpaksa hidup dengan apa yang ada. Apakah pandangan anda dalam hal ini?
Sebenarnya umat Islam di negara ini mendapat pendidikan Islam yang kurang semupurna kerana lazimnya mereka hanya belajar pada peringkat sekolah rendah sahaja. Kadang-kadang ilmu yang sama diajar semula di peringkat sekolah menengah. Apabila mereka bekerja ilmu yang dipelajari itu tidak diupgredkan sesuai dengan pekembangan hidupnya masa kini.
Secara logiknya, kalau kita belajar matematik tahun enam, tidak mampu menyelesaikan kes matematik di peringkatkan universiti, apatah lagi sewaktu mengurus perniagaan. Kalau soal dunia begitu keadaan, tentu dalam soal agama lebih perlu diberi perhatian sepanjang masa. Tidak cukup sekadar ilmu di sekolah rendah sahaja.
Dalam Islam, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah soal akidah. Perkara kedua ialah syariah, dan ketiga ialah Tasauf. Semua itu berkait rapat antara satu sama lain. Jika salah satu daripadanya tiada, pasti pincang Islamnya.
Peribahasa Melayu "Beras secupak tak kan jadi segantang" sebenarnya berkait dengan akidah. Sememangnya umat Islam mesti yakin bahawa sesuatu yang tertulis dalam qada dan qadar tidak boleh berubah kecuali dengan kehendak Allah. Sebab itu kita dibenarkan berdoa kerana kita tidak tahu apakah nasib kita pada masa hadapan. Allah akan mempertimbangkan jika munasabah dan berkelayakan.
Tetapi secara logiknya kalau seseorang itu dah ditakdirkan dapat secupak tidak mungkin akan dapat segantang. Bagaimanapun siapakan dalam kalangan kita yang tahu rezekinya hari ini secupak? Semua orang tidak tahu, oleh sebab itu kita kena usaha lebih dan berdoa. Jadi tidak timbul isu peribahasa itu sebagai punca kemunduran umat Islam.
Sebenarnya untuk memudahkan kita memahami peribahasa di atas ialah pada mereka yang bekerja makan gaji. Kalau seseorang itu ditetapkan gajinya sebanyak RM3,000 sebulan, mana mungkin gajinya bertambah. Inilah maksud, beras secupak takkan jadi segantang". Bagaimanapun kalau seseorang itu melakukan kerja lebih, buat OT tentu dia ada peluang untuk menambah pernampatan. Jadi, usaha lebih inilah yang saya maksudkan dengan doa di atas.
Mengenai hadis, "Dunia adalah penjara orang mukmin dan syurga pada orang kafir" ia sering difahami secara salah. Sebenarnya hadis ini ada nilai sastera yang perlu dihurai secara jelas. Kata-kata di atas adalah bermaksud, "Dunia pada orang mukmin seperti hidup dalam penjara dan bagaikan hidup dalam syurga pada orang kafir." Jelas di sini, hadis tersebut untuk Syariat iaitu orang Islam semasa hidup di dunia ini tidak bebas kerana mereka diawasi oleh undang-undang. Mereka mesti patuh pada undang-undang untuk mengelak kita dihukum di dunia apatah lagi diakhirat. Samalah dengan banduan, mereka diawasi oleh peraturan tertentu dan diawasi wadennya.
Jelas, orang yang memahami hadis itu akan melahirkan umat Islam yang berdisiplin, kuat beribadah dan gigih melakukan aktiviti kehidupan mengikut yang digariskan oleh Islam. Jadi, tidak timbul isu hadis ini menghalang umat Islam maju.
Hadis di atas juga menyampaikan mesej tasauf kerana apabila mereka yang berada dalam kawalan undang-undang ini, mereka akan menjadi keterampilan diri, berakhlak dan berdisiplin kepada Allah dan manausia seluruhnya. Wallahu aklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan