Ahmad Baei Jaafar
Berdasarkan soalan - Kini sudah masuk Syawal. Timbul soalan yang tidak pernah sunyi dibincangkan. Bagaimana niat puasa sunat enam. Terdapat pelbagai jawapan hingga menimbulkan kekeliruan orang awam. Apakah ketetapan Islam dalam hal ini.
Berikut adalah jawapannya bagi yang masih menunggu.
Berikut adalah jawapannya bagi yang masih menunggu.
Kalau wanita meninggalkan puasa kerana keuzuran sama ada haid atau nifas, mereka wajib menggantikannya setelah suci daripada kedua-duanya. Itulah hukum yang kita sudah sedia maklum. Tetapi yang menjadi persoalan setiap tahun ialah bolehkah diniatkan qada puasa Ramadan dengan puasa Syawal disekalikan.
Meskipun sudah diberi penjelasan oleh tok-tok guru namun soalan yang sama akan ditimbulkan oleh wanita. Yalah mungkin yang bertanya itu silih berganti orangnya. Boleh jadi yang tidak dengar jawapan itu akan bertanya pula pada tahun hadapan.
Beruntunglah guru agama di negara ini tidak jemu untuk menjawabnya. Malah kalau soalan itu datang daripada orang yang sama pun dia masih mahu menjawabnya. Semoga Allah berkati ilmu yang dicurahkan oleh guru tanpa jemu-jemu itu.
Sebenarnya isu puasa sunat enam syawal amat istimewa buat umat Islam. Hal ini kerana enam hari yang dilakukan oleh umat Islam akan dinilai oleh Allah seperti dia berpuasa sepanjang tahun. Kenyataan ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan mengiringinya dengan enam Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal tidak harus dipandang ringan oleh umat Islam. Biarpun sekadar sunat tetapi sunat ini sangat istimewa kerana dengan enam hari itu memungkinkan kita beroleh pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.
Oleh sebab puasa ini tidak boleh dilakukan pada bulan lain, maka keutamaan harus diberikan kepada pada bulan Syawal. Jadi, lakukan puasa enam Syawal terlebih dahulu apatah lagi mereka yang terpaksa mengqada puasa yang banyak. Hal ini kerapa puasa qada boleh dilakukan pada bulan-bulan lain berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah: 185)
Berbalik kepada soalan di atas, tidak seharusnya timbul isu meniatkan puasa qada dan sunat sekali. Sepatutnya sunat Syawal diutamakan dahulu, dan selepas selesai puasa sunat barulah dilakukan puasa qada. Kalau qada tak sempat habis dalam bulan Syawal bolehlah disambung pada bulan-bulan lain.
Kalau begitu lakukan niat seperti biasa, kalau puasa sunat sebutkan sunat dan kalau puasa qada niatkan qada. Sebagai contoh, “aku puasa sunat Syawal esok hari kerana Allah taala”. Dan niat puasa qada, “aku puasa qada Ramadan esok hari kerana Allah taala.”
Walau bagaimanapun kalau kita takut tidak sempat dan tidak larat hendak buat puasa sunat dan qada secara berasingan, Islam sediakan jalan penyelesaiannya. Caranya ialah, niatkan puasa qada saja. “Aku puasa qada esok hari kerana Allah taala.” Dengan niat puasa ini, turut dicatit pahala sunat enam syawal oleh Allah. Jadi, tak perlu niat syawal kerana sudah disediakan pahala Syawal.
Sungguhpun begitu kalau masih ada masa dan tenaga, eloklah dilakukan puasa sunat pula. Ingatlah puasa sunat Syawal hanya ada dalam bulan Syawal sahaja. Jadi, rebutlah peluang ini dengan serius.
Sebelum akhirnya, suka saya ingatkan kalian bahawa ramai yang tersilap dalam hal niat ini. Sekurang-kurangnya ada dua bentuk kesilapan yang besar. Pertama: “Aku puasa syawal dan qada Ramadan esok hari kerana Allah taala.” Dan kedua: “Aku puasa qada dan sunat syawal esok hari kerana Allah taala.”
Berdasarkan niat itu, Allah hanya menerima niat yang disebut jenis puasa pertama iaitu puasa sunat syawal pada niat pertama. Dan begitu juga pada niat kedua, diterima yang pertama iaitu puasa qada. Jadi, jangan bazirkan niat kita dan ikutlah panduan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan