Khamis, 8 Julai 2010

Takbir raya tidak sama

Ahmad Baei Jaafar

Sempena hari raya ini, saya lihat takbir hari dilagukan secara merdu dan menyayukan. Tetapi saya lihat di negara lain tidak dilakukan seperti di negara kini. Mengapa kita berbeza?

Jawapannya:
Lafaz takbir hari raya pertama kali dilaungkan pada zaman Rasulullah ialah setelah kemenangan tentera Islam dalam peperangan Ahzab. Itulah kemenangan yang menyelamatkan Islam dan maruah umat Islam setelah kalah dalam peperangan Uhud.
Takbir itu berbunyi seperti berikut:Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.
Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak,
Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang,
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,
Kami ikhlas kepada-Nya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir,
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal,
Yang Menepati janji-Nya, Yang Menolong hamba-Nya,
Dan Yang Memuliakan tentera-Nya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (Kekuasaan-Nya),
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.

Seterusnya takbir itu direalisasikan setiap kali datangnya perayaan umat Islam. Perayaan dalam Islam hakikatnya untuk menyambut hari kemenangan umat Islam. Kalau hari Idulfitri, kemenangan melawan nafsu selama sebulan. Manakala Iduladha menyambut kemenangan setelah berjaya menawan kaabah dan Makkah.
Persoalannya bagaimana Rasulullah dan sahabat mengalunkan takbir itu? Tidak ada hadis yang menceritakan atau meriwayatkan melodi yang dipakai oleh mereka. Oleh sebab tidak ada sejarahnya, maka tidak ada yang boleh diikut, namun kita yakin suara mereka tentu merdu.
Tetapi kenapa orang Arab dan lain-lain negeri selain Asia Tenggara tidak ada melodi yang menarik, sebaliknya mereka baca seperti biasa sahaja? Ini pun tidak boleh dijawab kerana realiti mereka memang tidak minat melagukan mengikut melodi yang menarik. Buktinya, al-Quran yang mereka bacapun tidak ada lagu yang menarik.
Berbeza dengan penduduk di sebelah sini, orang Melayu, Petani dan Indonesia, terkenal dengan lagu dan melodi yang cantik. Lalu diciptalah lagu yang baik. Ulama pada zaman dahulu kreatif, melagukan nasyid, al-Quran, Qasidah, dan juga takbir raya. Tujuannya supaya umat Islam berminat ikut bersama.
Saya percaya kalau orang luar Malaysia datang ke negara kita dalam tempoh yang lama, mereka pun suka dengan lagu yang kita amalkan hari ini. Dan saya percaya juga kalau mereka balik ke negara mereka nanti, lagu ini akan dibawa ke sana.
Percayakah anda, budaya yang kita bentuk ini telah menarik minat semua umat Islam untuk membacanya. Hari ini semua umat Islam boleh membacanya walau sekadar mengikut bacaan orang lain. Tetapi semua itu tidak berlaku di negara luar, anak muda tidak pandai membacanya, malah ada orang dewasa yang tidak tahu membacanya.
Kenapa? Jawapannya ialah bacaan ini tidak dijadikan budaya. Jadi, mereka tidak menghidupkan sunnah Rasulullah. Oleh sebab itu, teruskan budaya yang baik ini demi menegakkan sunnah.

Rabu, 21 Oktober 2009

Kreatif ulama bagi menggalak umat Islam beribadah

Dalam bulan Ramadhan lalu, saya lihat cara selawat antara solat tarawih ada sedikit berubah dari sebelumnya. Malah antara negeri dengan negeri lain juga tidak sama. Bagimana hal ini boleh terjadi?

Ulama Melayu pada zaman dahulu antara yang sangat kreatif dalam berdakwah. Mereka menggunakan pendekatan yang pelbagai demi menjinakkan orang Melayu kepada Islam. Mereka sedar untuk mendidik umat Islam negara ini ke arah memahami Islam dan mengamalkannya mesti berhikmah. Maka bagi menggalakkan umat Islam beramal, disediakan pendekatan yang menarik.
Merujuk kepada solat Tarawih dalam bulan Ramadhan, ulama memperkenalkan dengan moreh supaya mereka boleh makan selepas solat selesai. Pada waktu itu tidak timbul bahasan tentang soal jumlah rakaat walaupun dalam kitab fiqah ada menyebutnya secara terperinci. Memang ada fakta bahawa Rasulullah melakukan solat tarawih 8 rakaat, ada juga yang menyebutnya sebanyak 16 rakaat malah ada yang lebih daripada 20 rakaat tanpa berjemaah.
Ulama ketika itu, tahu orang Melayu kalau diberi pilihan sudah pasti dia akan memilih yang sedikit. Padahal lazimnya dalam mengejar keuntungan mereka sepatutnya memilih yang banyak. Mereka tahu orang Melayu lebih mahu keuntungan segera daripada keuntungan di akhirat.
Oleh sebab itu, ulama tidak mahu menyebut jumlah rakaat yang boleh dipilih, sebaliknya mengajak mereka melakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Walau bagaimanapun supaya umat Islam tidak jemu dan bosan melakukan solat yang banyak, diselang-selikan antara dua rakaat solat dengan selawat secara berirama.
Selain bacaan surah lazim yang mudah dihafal dijadikan bacaan dalam solat selepas fatihah, bacaan selawat berirama yang dianjurkan selepas salam, sungguh mengasyikkan. Maka 20 rakaat yang dilakukan tidak dirasakan panjang kerana tenggelam dalam irama selawat itu sangat menghiburkan.
Bacaan selepas salam rakaat kedua yang pertama, bilal dan makmum membaca bersama-sama:
فَضْلاً مِّنَ اللهِ وَنِعْمَةً وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِ وَيُمِيِتُ وَهُوَ عَلَىْ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Kemudian bilal membaca selawat kedua:
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Selepas itu makmum menjawab selawat itu:
صَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَيْه
Kemudian bilal membaca lagi:
اَلْبَدْرُ الْمُنِيْرُ مُحَمَّدٌ
Makmum terus menjawab:
صَلُّوا عَلَيْهِ
Bacaan selawat pada rakaat kedua yang kedua pula bilal dan makmum membaca bersama-sama:
سُبْحَانَ الْمَلِكُ الْمَعْبُوْدُ سُبْحَانَ الْمَلِكُ الْمَوْجُوْدُ سُبْحَانَ الْمَلِكُ الْحَيُّ الَّذِيْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَمُوْتُ وَلاَ يَفُوْتُ أَبَدًا سُـبُّوْحٌ قُدُّوْسٌ رَبُّنَا وَرَبُّ الْمَلآئِكَةِ وَالْرُوْحِ، سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
Setelah itu bilal membaca selawat:
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Kemudian makmum menjawab selawat:
صَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَيْهِ
Setelah itu bilal terus membaca selawat kedua:
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىْ سَيِّدِنَا مُحَمَّد
Makmum menjawab selawat itu:
صَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَيْه
Seterusnya bilal membaca selawat yang ketiga:
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىْ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا وَحَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَذُخْرِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ
Makmum terus menjawab selawat itu:
صَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَيْه
Bacaan yang sama diulang pada empat rakaat berikut secara berselang seli.
Lagu dan melodi yang dibawa itu menghiburkan jemaah tarawih. Dengan rehat dan berhibur itu, mampu memberi kekuatan kepada mereka untuk meneruskan rakaat yang seterusnya. Maka semua Jemaah dapat menghabiskan 20 rakaat dengan penuh rasa gembira.
Tetapi keadaan ini agak berubah sekitar akhir-akhir tahun 70-an apabila pulang siswazah dari Timur Tengah yang mendakwa mereka memperoleh ilmu baru. Mereka mendakwa Tarawih yang kononnya dilakukan oleh Rasulullah hanya 8 rakaat. Padahal perkara itu sudah lama tercatat dalam kitab tua.
Apabila ilmu ini diketengahkan, mereka yang malas berdiri lama akan mengambil kesempatan untuk memilih 8 rakaat, apatah lagi apabila dikaitkan dengan sunnah rasulullah. Sikap siswazah ini sebenarnya telah cuba mengajak orang ramai mengikut sunnah tetapi cuba mengurangkan minat mereka untuk menambahkan pahala ibadah sunat dalam bulan Ramadhan.
Pada masa yang sama, kembali juga siswazah yang mendakwa bahawa mereka pandai bahasa Arab, lalu berani menyatakan selawat yang dibaca itu salah dan perlu dibetulkan. Padahal ulama dahulu lebih fasih bahasa Arab dan sastera Arab daripadanya.
Menurut dakwaan mereka, bacaan:
اَلْبَدْرُ الْمُنِيْرُ مُحَمَّدٌ
Perlu disambung dengan:
صَلُّوا عَلَيْهِ
Kemudian baru disambut oleh makmum dengan:
صَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَيْه
Kata mereka, tidak munasabah makmum yang ramai perintah bilal sedangkan lafaznya untuk ramai, صلوا عليه yang bermaksud berselawatlah kamu semua ke atasnya. Jadi, lebih sesuai perkataan itu dijadikan ucapan bilal yang ditujukan kepada makmum.
Sebenarnya siswazah itu cuba membaik labu yang sudah cantik lantaran kurangnya ilmu bahasa Arab apatah lagi sasteranya. Sebenarnya صلوا dalam ayat ini bukan ayat perintah, fi’l amar tetapi adalah fi’l madi, yang bermaksud, mereka telah berselawat.
Supaya lebih jelas biar saya terjemahkan maknanya:
Kemudian bilal membaca lagi:
اَلْبَدْرُ الْمُنِيْرُ مُحَمَّدٌ
Bulan purnama yang menyinar itu adalah Muhammad.

Makmum terus menjawab:
صَلُّوا عَلَيْهِ
Semoga mereka (makhluk Allah; jin, malaikat dan manusia) semua berselawat ke atasnya. Fa’il di sini ialah “hum”.
Jawapan makmum ini berbeza dengan jawapan:
صَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَيْه
Semoga Allah berselawat dan menyejahterakan ke atasnya. Fa’il di sini ialah Allah.
Perlu dijelaskan di sini, fi’l madi dalam keadaan sebegini bermaksud doa dan harapan. Maka selain contoh di atas perhatikan contoh berikut:
رضي الله عنه bermaksud semoga Allah meredainya
رحمه الله bermaksud semoga Allah merahmatinya
كرم الله وجهه bermaksud semoga Allah memuliakan wajahnya.
Selain itu perkataan صلوا walaupun madi, tetapi rupanya sama dengan fi’l amar. Mereka yang belajar bahasa Arab pasti tahu membezakan antara keduanya. Jika mereka rasa masih keliru, perlu dalami bahasa Arab itu.
Walau bagaimanapun bagi mengelak kekeliruan ini, maka Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak membuang langsung dua rangkap ayat di atas. Oleh sebab itulah bacaan selawat pada tahun ini agak pendek sedikit.
Melihat keadaan ini, umat Islam terutama ulama dan cerdik pandai Islam perlu bertindak mengikut ilmu yang mereka miliki. Mereka seharusnya lebih kreatif bagi menggalakkan mereka untuk melakukan ibadah kepada Allah.
Ketahuilah ibadah solat, rukun dan syaratnya tidak boleh diubah, tetapi selain daripada itu boleh dilakukan. Yang penting, apa yang dilakukan adalah untuk menarik minat mereka melakukan ibadah kepada Allah sebanyak-banyaknya.

Rabu, 23 September 2009

Takbir raya tidak sama

Sempena hari raya ini, saya lihat takbir hari dilagukan secara merdu dan menyayukan. Tetapi saya lihat di negara lain tidak dilakukan seperti negera kini. Mengapa kita berbeza?
Tunggu jawapannya nanti.

Niat puasa sunat enam

Kini sudah masuk Syawal. Timbul soalan yang tidak pernah sunyi dibincangkan. Bagaimana niat puasa sunat enam. Terdapat pelbagai jawapan hingga menimbilkan kekeliruan orang awam. Apakah ketetapan Islam dalam hal ini.
Tunggu jawapannya dalam masa terdekat.

Selawat Tarawih tidak sama

Dalam bulan Ramadhan lalu, saya lihat cara selawat antara solat tarawih ada sedikit berubah dari sebelumnya. Malah antara negeri dengan negeri lain juga tidak sama. Bagimana hal ini boleh terjadi?
Tunggu jawapannya pada masa terdekat.

Jumaat, 27 Mac 2009

Runding keluarga sendiri sebelum bercerai

Menyentuh persoalan "Seseorang yang berkahwin dalam tempoh yang singkat kemudian bercerai selalu dikaitkan dengan gangguan sihir dan sebagainya. Benarkah wujud gangguan itu ada masalah lain yang mereka tersilap dalam melayari bahtera hidup berkeluarga," banyak perkara yang perlu dilihat:
1. Mengapa berlaku perceraian? Antara yang boleh berlaku perceraian di awal perkahwinan ialah, pilihan tidak tepat, suami atau isteri rasa tertipu, yang diharapkan tidak berlaku realiti, isteri tidak bersedia untuk tubuhnya disentuh oleh suami dan suami isteri tidak boleh lahirkan kesefahaman.
2. Wujudkah gangguan sihir untuk menggagalkan perkahwinan? Ya, boleh wujud gangguan sihir yang sengaja dilakukan oleh orang tertentu untuk menggagalkan perkahwinan itu. Kita dapat mengesan gangguan itu setelah kita cuba melakukan perbagai usaha untuk memulihkan hubungan suami isteri. Apabila usaha yang betul dilakukan tetapi masih gagal barulah boleh dikatakan sihir.
Dalam kes pertama, mereka boleh bercerai pada awal perkahwinan jika jelas tidak boleh membawa kebaikan. Daripada hanyut begitu lagi tanpa kebaikan lebih baik bercerai awal. Bagaimanapun sebelum bercerai, ibu bapa perlu campur tangan dengan menasihati anak masing-masing. Jika itupun gagal, boleh bercerai.
Perlu dijelaskan di sini, ibu bapa seharusnya tidak merahsiakan kebaikan atau keburukan yang ada kepada anaknya kepada bakal menantunya. Lelaki boleh menerima dengan baik jika semuanya diberitahu keburukan bakal isterinya. Tetapi kalau ditipu, hati suami pasti kecewa.
Adapun dalam kes sihir, kalau boleh berubat, cubalah dahulu. Jika usaha itu juga gagal, bolehlah berunding dengan ibu bapanya untuk bercerai. Inilah jalan terbaik yang diajar oleh Islam. Bagaimanapun jika denan sihir itu menyebabkan hubungan intem suami isteri tidak berlaku, suami boleh membuat pilihan untuk bercerai. Wallahu Aklam.

Selasa, 10 Mac 2009

Kahwin dan cerai, mengapa?

Seseorang yang berkahwin dalam tempoh yang singkat kemudian bercerai selalu dikaitkan dengan gangguan sihir dan sebagainya. Benarkah wujud gangguan itu ada masalah lain yang mereka tersilap dalam melayari bahtera hidup berkeluarga. Nanti kita akan bincang kes ini.