Rabu, 9 Mei 2012

Bagaimana menilai keikhlasan kita



Soalan1
Saya selalu membaca buku agama yang menyatakan bahawa kita perlu ikhlas dalam buat sesuatu kerja atau amalan. Tetapi saya tidak tahu bagaimana yang dikatakan ikhlas dan cara untuk menjadikan hati kita ikhlas hanya kerana Allah.

Jawapan:
Sebenarnya ikhlas bermaksud solid atau bersih. Maknanya kalau anda beribadah memang niatnya kerana Allah tetapi dalam melakukan solat sebagai contoh, kita tambahkan niat lain seperti, nanti orang akan kata aku orang beriman, supaya aku mudah dapat kerja, supaya Allah perkenankan doa ku dll lagi. Niat-niat seumpama itulah yang menunjukkan kita tidak ikhlas.
Dalam contoh yang lain, kalau kita berkawan dengan seseorang lelaki, niat kita nak jadikan dia pasangan suami isteri. Niat kita ini dapat dinilai dengan kejujuran kita berkawan dengannya, iaitu tidak mengambil kesempatan terhadap persahabatan itu. Barulah dia dikatakan ikhlas.
Sebaliknya seseorang yang niatnya tidak ikhlas dalam berkawan, dia tentu mempunyai niat yang lain selain niat asal. Walaupun asalnya kita berniat untuk menjadikan dia pasangan suami isteri, tetapi ada lagi niat yang mendampinginya antaranya, nak mudah minta duit, nak lepaskan nafsu, dan pada masa yang sama dia berkasih juga dengan orang lain.
Jadi, ikhlas hanya jika kepada yang satu. Dalam hal ini kita sendiri boleh menilai keikhlasan hati kita sama ada ikhlas atau tidak. Oleh sebab itu, kita perlu membiasakan diri dengan fokus pada niat yang satu. Meskipun niat itu gagal, kita masih ada masa untuk membetulkan semula niat itu.

Soalan2
Harta pusaka dibahagikan lebih kepada anak lelaki, sedangkan lazimnya anak perempuanlah yang banyak menjaga ibu atau bapa yang sakit hingga meninggal dunia. Boleh tak untuk kes sebagini mereka mendapat lebih?


Jawapan:
Harta pusaka telah ditetapkan oleh Allah kadar yang perlu dibahagikan kepada waris. Apabila Allah menetapkan begitu tentulah ada sebab yang munasabah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Mungkin sesuatu yang kita anggap tidak munasabah tetapi pada Allah ada kebaikannya.
Mengapa Allah tetapkan pada anak lelaki lebih banyak berbanding anak perempuan? Allah telah menjawab dalam ayat-ayat tentang waris iaitu antaranya lelaki telah dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada tanggungannya. Sedangkan perempuan harta yang diperoleh itu hanya untuknya sahaja. Dalam keadaan itu wajarlah anak lelaki diberi lebih.
Merujuk kepada soalan di atas, anak perempuan yang lazimnya menjaga ibu atau bapa yang sakit hingga mati, tidaklah boleh dikaitkan dengan harta pusaka. Waktu ibu bapanya sakit, menjadi tanggungjawab anak yang berpendapatan membantu ibu bapanya. Kalau dia tidak mampu, berikan wang mereka kepada mana-mana adik perempuan yang mahu menjaganya. Itulah pengorbanan anak kepada ibu bapanya.
Apabila kedua-duanya meninggal dunia, harta pusaka akan diagihkan mengikut kadar yang ditetapkan Allah. Lainlah kalau sebagai mengenang jasa anak itu, ibu atau bapa sebelum meninggal dunia menghibahkan sesuatu harta untuknya. Walaupun dia sudah mendapat hibah, bahagian pusaka untuknya masih menjadi haknya.
Katalah ibu meninggal dahulu, dan bapa masih terlantar sakit, anak-anak tesebut sudah mendapat harta pusaka ibunya. Di sini kalau bapa yang terlantar sakit itu dijaga oleh anak perempuan, anak lelakilah yang perlu membiayai rawatan bapanya itu. Namun tidak salah anak-anak lain turut membantu.

Soalan3
Perlukah diletakkan gelaran haji apabila seseorang itu telah menunaikan ibadah haji? Bagaimana kalau dia tidak mahu meletakkan gelaran itu kerana takut riyak.

Jawapan:
Sesiapa sahaja yang pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji atau umrah, orang Arab termasuk polis akan memanggil mereka “ya haj” maknanya wahai haji. Maknanya kalau buat umrahpun akan dipanggil haji juga. Bukan sahaja orang Melayu, semua bangsa yang berada di sana akan dipanggil haji.
Haji maknanya orang yang telah menunaikan hajat mengerjakan haji atau umrah. Kalau begitu, orang yang balik daripada buat umrah boleh juga dipanggil haji iaitu orang yang telah menunaikan hajat mengerjakan umrah. Cuma budaya kita di sini tidak memanggil haji kepada mereka yang pergi buat umrah.
Berbalik kepada soalan di atas, perlukan diletakkan gelaran haji, maka jawapannya, terpulang kepada individu yang terbabit. Kalau kita nak letakkan haji di hadapan nama kita, lakukanlah. Kalau kita tidak mahu letakkan pun silakan. Semua itu harus di sisi Islam.
Sebenarnya walaupun seseorang itu tidak meletakkan haji di hadapan namanya, tidaklah menghilangkan haji yang dilakukan itu. Tetapi biasanya orang yang sudah mengerjakan haji, akan dipanggil haji walaupun pada namanya tidak ditulis haji. Di sini kalau orang panggil kita haji, bersyukurkan kerana dia terus mendoakan kita.
Di sini tidak timbul isu riak kalau meletakkan perkataan haji pada namanya. Tidak ada apa-apa yang harus dibanggakan dengan kemampuan kita mengerjakan haji. Jadi, title haji itu tidak akan menjadikan seseorang itu riyak, sebaliknya satu tanda kesyukuran. Tetapi kalau tidak mahu meletakkan haji kerana takut riyak adalah dibimbangkan rasa itu sudah menjadi riyak. Inilah sifat mazmumah yang seharusnya ditinggalkan.

Soalan 4
Saya mempunyai anak luar nikah atau tak sah taraf. Kami merancang hendak mengahwinkan dia pada masa yang terdekat ini. Yang menjadi persoalan kami, kami takut untuk memberitahu status itu kepadanya takut dia lari dari rumah kerana malu dan marah kepada ibu bapanya. Apakah jalan terbaik untuk mendapat wali anak kami ini?

Jawapan:
Inilah yang dikatakan nasi sudah menjadi bubur. Sesuatu yang sudah terjadi ini sudah tidak boleh ditarik balik kepada asal. Namun dalam keadaan ini, tidak gunalah disalahkan sesiapa melainkan diri sendiri. Sebaiknya semua pihak yang terlibat segera memohon ampun kepada Allah dan bertaubat dengan taubat nasuha.
Memanglah dalam kes ini, nasi yang menjadi bubur itu tidak boleh dikembalikan kepada nasi, tetapi bubur itu masih boleh dimakan malah kalau kena cara prosesnya lebih sedap dimakan. Jadi, jangan sesali nasi yang sudah menjadi bubur itu. Bubur itu boleh menjadi lebih baik dengan sedikit garam, ikan bilis, daun bawang dan sebagainya. Tetapi kalau kita marah dengan sebab itu, lalu dicurahkan ke tanah tentulah membazir namanya.
Sebenarnya anak tak sah taraf yang diibaratkan sebagai bubur itu tidak ada apa salahnya. Status anak itu sama seperti anak orang lain di sisi Allah, cuma di sisi undang-undang dia hanya ada ibu dan tidak ada bapa. Maka kalau dia anak perempuan, akan dinikahkan dengan menggunakan wali hakim.
Tetapi percayalah jika anak ini dididik dengan sempurna diberikan ilmu agama yang betul dan dipelihara maruahnya, pasti dia akan menjadi seorang wanita yang solehah. Kemudian setelah anak itu mula memasuki alam baligh, hendaklah dijelaskan statusnya agar dia tidak terkejut. Gunalah pendekatan berhemah dalam menjelaskannya demi menjaga maruahnya pada khalayak.
Tetapi kalau ibu bapa terlalu merahsiakan statusnya, kononnya takut dia lari dari rumah dan membenci ibu bapanya, ditakuti akan menjadi realti suatu hari nanti. Yalah, kalau dua minggu sebelum berkahwin baru hendak diberitahu kedudukan sebenar, tentulah dia akan jadi hysteria.
Jadi, jangan kerana takut dengan bayang-bayang hasil perbuatan ibu bapa itu sendiri, anak menjadi mangsa keadaan. Ingatlah menyimpan rahsia status itu boleh mencetuskan banyak lagi masalah pada masa hadapan.
Merujuk kepada kes di atas, adalah dinasihatkan ibu bapa terbabit meminta bantuan pegawai agama yang arif mengenainya atau iman yang dihormati masyarakat. Semoga dengan itu maruahnya akan terjamin pada masa hadapan.

Soalan 5
Saya telah lama bercinta dengan seorang lelaki, setelah segala kepercayaan diberikan kepadanya, kini dia menyatakan akan berkahwin dengan gadis lain. Saya yang kecewa dengan keputusan itu mendoakan keburukannya. Wajarkah tindakan saya itu?

Jawapan:
Saya bersimpati atas apa yang anda hadapi. Sememang begitulah keadaan orang yang bercinta. Waktu suka segalanya diserahkan dan apabila benci segalanya ditarik balik tanpa ada rasa kemanusiaan. Sesetengahnya maruah diri sanggup digadaikan hanya kerana cinta, lalu selepas itu menyesal tak sudah-sudah.
Saya percaya anda tidak sampai kepada menggadai maruah, tetapi harapan penuh telah dicurahkan demi cinta. Oleh sebab itu cinta dalam Islam tidak seharusnya dilepas bebas seperti orang yang sudah berkahwin. Malah, penggunaan telefon termasuk SMS juga tidak dibenarkan menjadi alat perhubungan percintaan.
Sebenarnya, bahasa cinta melalui telefon mahupun pertemuan langsung amat mengundang kepada maksiat yang lebih besar. Hati yang berputik rasa rindu akan membawa kepada pertemuan yang sulit. Semuanya berpunca daripada telefon. Oleh sebab itu Islam menyekat percintaan sebegini.
Dalam keadaan inilah kalau salah seorang kecewa kerana dikecewakan akan menderita batinnya. Apabila ini terjadi, dendam akan membara lalu sanggup mendoakan keburukan pasangannya. Inilah sebabnya mengapa percintaan sebegini dilarang oleh Islam.
Dalam kes ini adalah disarankan anda bertaubat daripada dosa yang lalu. Lupakan kekasih yang palsu itu dan kembali kepada cintakan Allah dan Rasul-Nya. Dalam Islam sifat berdendam adalah dilarang tetapi sebaliknya berbuat baik kepada orang yang buat jahat kepada kita. Jadi, doakan kebaikan untuknya semoga dengan itu Allah gantikan dengan jodoh yang lebih baik daripadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan