Isnin, 12 September 2011

Mengandung boleh tak berpuasa


Soalan1: Saya difahamkan wanita yang mengandung boleh tidak berpuasa, cuma saya musykil tentang pandangan yang menyatakan perlu bayar kifarat, dan ada yang kata tidak perlu. Minta penjelasan.

Jawapan: Memang betul, wanita atau ibu yang mengandung boleh tidak berpuasa. Tetapi penjelasan mengenainya perlu lebih terperinci kerana hasil salah faham, ramai pula yang tersalah amal. Sebenarnya hukum seumpama ini bukan sahaja kepada ibu mengandung, tetapi juga kepada ibu yang sedang menyusu anaknya.
Terdapat dua kes yang perlu difahami oleh wanita yang terlibat. Kedua-duanya berbeza hukumnya. Supaya kefahamannya lebih jelas, perhatikan kes berikut:
1.       Seorang wanita sedang mengandung anak sulung, oleh sebab tidak ada pengalaman sebelumnya dia risau kerana sering pening dan muntah. Kalau dia terus puasa tentu meletehkan. Dalam keadaan itu dia boleh berbuka puasa.
Suka saya sebut di sini, dalam kitab menyebut boleh berbuka puasa, ini menunjukkan sebelum itu dia telah berpuasa, maka apabila dia tidak sihat bolehlah berbuka puasa. Berdasarkan itu, mereka yang mengandung dalam kategori itu perlu berniat puasa seperti biasa, tetapi apabila tidak dapat dikawal lagi, berbukalah.
Jadi, tidak bolehlah seseorang yang mengandung itu, terus tidak mahu berpuasa sepanjang hari sedangkan pada waktu itu dia masih bermaya.
Mereka yang berbuka puasa atas sebab di atas wajib menqada puasa itu pada bulan syawal nanti. Dan dia tidak perlu bayar sebarang kifarat.
2.       Seorang wanita yang sedang mengandung anak sulung yang usia kandungannya lapan bulan. Dalam keadaan yang sarat itu dia kelihatan kurang bermanya, apatah lagi membawa janin yang semakin membesar. Secara peribadi dia masih mampu meneruskan berpuasa sehingga masa berbuka, tetapi dia bimbang anak yang sedang dikandungnya itu tidak mendapat cukup makanan daripadanya.
Oleh sebab memikirkan anak yang dikandung itu terjejas makanannya, dia berbuka puasa untuk membolehkan dia makan secukupnya. Di sini, dia berbuka puasa bukan kerana dirinya tetapi kerana anaknya. Oleh sebab itu, dia wajib menggantikan puasa itu selepas memasuk Syawal. Tetapi pada hari-hari yang dia tidak berpuasa itu wajib dibayar kifarat dengan kadar secupak beras kepada fakir miskin. Ertinya kifarat itu perlu dibayar segera pada hari berkenaan juga, bukan pada waktu berpuasa ganti.
Perbezaan kes ini boleh dijadikan panduan sekali gus menjawab soalan yang ditimbulkan di atas. Kes yang sama juga boleh dikiaskan pada ibu yang menyusukan anak.

Soalan2: Wanita tidak boleh elak daripada ponteng puasa, persoalannya apabila masuk sahaja dua Syawal, bolehkah mereka niat puasa qada bersama dengan niat puasa enam Syawal.

Jawapan: Benar, persoalan seperti ini sering ditanyakan setiap tahun. Boleh jadi soalan itu dikemukakan oleh orang yang berlainan.  Untuk menjawab persoalan itu suka saya memberikan dua pendekatan dan kedua-dua itu boleh digunakan sebaiknya.
1.       Jika anda mempunyai puasa qada tujuh hari, maka pada 2 Syawal anda boleh berniat puasa qada; “sahaja aku puasa qada ramadan esok hari kerana Allah taala.” Dengan niat itu anda beroleh puasa qada dan pahala sunat syawal juga dapat secara automatik.
Apabila dia sudah melaksanakan puasa qada selama enam hari, maka secara automatik dia sudah melaksanakan puasa enam syawal. Namun kalau dia hendak puasa sunat Syawal lagi selepas itu, masih digalakkan.
2.       Dia juga boleh berniat; “aku puasa qada Ramadan dan sunat syawal esok hari kerana Allah taala,” dengan niat ini dia dikira berpuasa qada dan mendapat pahala sunat syawal. Jadi, puasa Syawalnya sudah memadai.
Walau bagaimanapun ada dalam keadaan tertentu wanita tersilap niat dengan menyebut puasa sunat dahulu, maka dengan itu niat puasa qada tidak terpakai. Supaya lebih jelas perhatikan contoh berikut:
“Aku puasa sunat Syawal dan qada Ramadan esok hari kerana Allah taala,” dengan niat ini hanya sah yang pertama, dan yang kedua itu tidak mengikut. Hal ini kerana puasa sunat lebih kecil daripada puasa qada.
Umat Islam terutama wanita dianjurkan segera menamatkan puasa qada dan sunat enam syawal dalam bulan Syawal untuk membolehkan mereka mendapatkan anugerah puasa setahun. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bemaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan mengikutinya dengan enam Syawal, mereka seolah-olah seperti puasa setahun.”
Ini bermakna kalau seseorang yang Ramadannya tidak lengkap sama ada 29 atau 30 Ramadan tidaklah layak mendapat puasa setahun walaupun enam syawal sudah sempurna. Jadi, rebutlah peluang ini pada tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Komen