Sabtu, 30 Julai 2011

Syaitan dirantai tetapi umat masih buat dosa

Syaitan dikatakan dirantai sepanjang bulan Ramadan tetapi kenapa masih ada umat Islam melakukan dosa. Apakah peranan syaitan masih ada?

Jawapan: Memang ada hadis yang menyebut bahawa syaitan dirantai dalam bulan Ramadan. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Hadis yang pendek ini memberi maksud bahawa peluang untuk umat Islam meraih pahala dibuka seluasnya dalam bulan Ramadan. Umat Islam boleh lakukan sebanyak mungkin ibadah tanpa gangguan syaitan. Hadis ini juga memberi maksud bahawa peluang untuk melakukan dosa sudah ditutup.
Kalau begitulah maksud hadis di atas, mengapa pula masih ada umat Islam yang melakukan dosa waktu berpuasa malah ada juga yang tidak mahu berpuasa. Siapa yang mengganggu mereka, siapa yang menghasut mereka supaya melakukan dosa tersebut? Inilah barangkali yang dimaksudkan dalam soalan di atas.
Benar, walaupun pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup tidak bermakna semua umat Islam akan berbuat baik. Buat baik atau jahat banyak bergantung kepada hati, kalau hati baik akan terdoronglah kepada kebaikan, begitulah sebaliknya. Kalau hati jahat, walaupun pintu syurga dibuka luas belum tentu boleh menggamit keinginannya untuk masuk.
Manakala syaitan yang dirantai, tujuan adalah supaya ia tidak terlalu bebas keluar masuk menggoda manusia yang berpuasa. Namun kita perlu ingat, walaupun dirantai, matanya masih boleh melihat, akalnya masih boleh befikir. Boleh jadi berdasarkan pengalamannya yang lampau, dia boleh mempengaruhi seseorang melalui jarak jauh. Malah mungkin teknologinya lebih canggih daripada manusia.
Selain itu, kita kena ingat juga setiap manusia dibekalkan nafsu, dan nafsu inilah yang selalu mempengaruhi hati seseorang. Kalau selama ini nafsu bekerjasama dengan syaitan, maka bulan puasa nafsu melakukan gerakan menggoda bersendirian. Mungkin hasil pengalaman selama 11 bulan digunakan untuk satu bulan itu. Inilah hakikat yang ramai umat Islam tidak tahu.
Oleh sebab itu, mulai Ramadan kali ini, bersihkan hati daripada godaan nafsu dan syaitan supaya dengan itu nanti hasutan nafsu dapat ditolak dengan mudah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan