Sabtu, 30 Julai 2011

Hukum guna inhaler

Memasukkan sesuatu ke dalam rongga boleh membatalkan puasa. Tapi bagaimana kalau seseorang yang menghidap penyakit asma, bolehlah dia menyedut inhaler?

Jawapan:  Inhaler adalah peralatan moden yang diciptakan untuk membantu pesakit lelah. Oleh sebab peralatan ini ciptaan baru malah masih moden, ulama pada zaman dahulu tidak memasukkannya dalam agenda perbincangan mereka. Apatah lagi ulama generasi kitab tua. Sungguhpun begitu baru-baru ini muzakarah jawatankuasa fatwa di negara ini telah membincangkannya secara serius. Dan keputusan yang ambil ialah harus.
Memang pada dasarnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga boleh membatalkan puasa. Ini merujukkan kepada aktiviti makan, minum, bersetubuh atau yang seumpamanya dan berlaku secara sengaja. Bahkan boleh jadi aktiviti tersebut bertujuan tidak mahu berpuasa atau cuba mencabar hukum Allah. Oleh sebab itu perbuatan itu dihukumkan sebagai batal puasa.
Tetapi jika aktiviti yang sama dilakukan secara tidak sengaja atau terlupa, maka tidak membatalkan puasa. Namun apabila dia mula sedar yang dia sedang berpuasa, wajiblah berhenti daripada aktiviti itu dan teruskan berpuasa seperti sebelumnya.
Merujuk kepada kes orang yang sakit asma, dia dalam keadaan biasa boleh berpuasa seperti orang normal. Cuma dia sesekali akan terasa semput. Keadaan ini terjadi tidak menentu masanya. Bagi mengawal keadaan yang tidak menentu itu dia banyak bergantung kepada bantuan inhaler. Maka dalam keadaan puasa, dia bolehlah menggunakan inhaler bila perlu.
Jadi, penggunaan inhaler itu dianggap sebagai terpaksa kerana penyakit ini tidak amaran terlebih dahulu. Selain itu, penggunaannya untuk tujuan rawatan bagi membantu kesembuhan adalah dibenarkan dalam Islam. Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan