Jumaat, 31 Disember 2010

Niat puasa sunat enam dan qada Ramadan

Ahmad Baei Jaafar

Berdasarkan soalan - Kini sudah masuk Syawal. Timbul soalan yang tidak pernah sunyi dibincangkan. Bagaimana niat puasa sunat enam. Terdapat pelbagai jawapan hingga menimbulkan kekeliruan orang awam. Apakah ketetapan Islam dalam hal ini.
Berikut adalah jawapannya bagi yang masih menunggu.

Kalau wanita meninggalkan puasa kerana keuzuran sama ada haid atau nifas, mereka wajib menggantikannya setelah suci daripada kedua-duanya. Itulah hukum yang kita sudah sedia maklum. Tetapi yang menjadi persoalan setiap tahun ialah bolehkah diniatkan qada puasa Ramadan dengan puasa Syawal disekalikan.
Meskipun sudah diberi penjelasan oleh tok-tok guru namun  soalan yang sama akan ditimbulkan oleh wanita. Yalah mungkin yang bertanya itu silih berganti orangnya. Boleh jadi yang tidak dengar jawapan itu akan bertanya pula pada tahun hadapan.
Beruntunglah guru agama di negara ini tidak jemu untuk menjawabnya. Malah kalau soalan itu datang daripada orang yang sama pun dia masih mahu menjawabnya. Semoga Allah berkati ilmu yang dicurahkan oleh guru  tanpa jemu-jemu itu.
Sebenarnya isu puasa sunat enam syawal amat istimewa buat umat Islam. Hal ini kerana enam hari yang dilakukan oleh umat Islam akan dinilai oleh Allah seperti dia berpuasa sepanjang tahun. Kenyataan ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan mengiringinya dengan enam Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal tidak harus dipandang ringan oleh umat Islam. Biarpun sekadar sunat tetapi sunat ini sangat istimewa kerana dengan enam hari itu memungkinkan kita beroleh pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.
Oleh sebab puasa ini  tidak boleh dilakukan pada bulan lain, maka keutamaan harus diberikan kepada pada bulan Syawal. Jadi, lakukan puasa enam Syawal terlebih dahulu apatah lagi mereka yang terpaksa mengqada puasa yang banyak. Hal ini kerapa puasa qada boleh dilakukan pada bulan-bulan lain berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah: 185)
Berbalik kepada soalan di atas, tidak seharusnya timbul isu meniatkan puasa qada dan sunat sekali. Sepatutnya sunat Syawal diutamakan dahulu, dan selepas selesai puasa sunat barulah dilakukan puasa qada. Kalau qada tak sempat habis dalam bulan Syawal bolehlah disambung pada bulan-bulan lain.
Kalau begitu lakukan niat seperti biasa, kalau puasa sunat sebutkan sunat dan kalau puasa qada niatkan qada. Sebagai contoh, “aku puasa sunat Syawal esok hari kerana Allah taala”. Dan niat puasa qada, “aku puasa qada Ramadan esok hari kerana Allah taala.”
Walau bagaimanapun kalau kita takut tidak sempat dan tidak larat hendak buat puasa sunat dan qada secara berasingan, Islam sediakan jalan penyelesaiannya. Caranya ialah, niatkan puasa qada saja. “Aku puasa qada esok hari kerana Allah taala.” Dengan niat puasa ini, turut dicatit pahala sunat enam syawal oleh Allah. Jadi, tak perlu niat syawal kerana sudah disediakan pahala Syawal.
Sungguhpun begitu kalau masih ada masa dan tenaga, eloklah dilakukan puasa sunat pula. Ingatlah puasa sunat Syawal hanya ada dalam bulan Syawal sahaja. Jadi, rebutlah peluang ini dengan serius.
Sebelum akhirnya, suka saya ingatkan kalian bahawa ramai yang tersilap dalam hal niat ini. Sekurang-kurangnya ada dua bentuk kesilapan yang besar. Pertama: “Aku puasa syawal dan qada Ramadan esok hari kerana Allah taala.” Dan kedua: “Aku puasa qada dan sunat syawal esok hari kerana Allah taala.”
Berdasarkan niat itu, Allah hanya menerima niat yang disebut jenis puasa pertama iaitu puasa sunat syawal pada niat pertama. Dan begitu juga pada niat kedua, diterima yang pertama iaitu puasa qada. Jadi, jangan bazirkan niat kita dan ikutlah panduan di atas.

Khamis, 8 Julai 2010

Takbir raya tidak sama

Ahmad Baei Jaafar

Sempena hari raya ini, saya lihat takbir hari dilagukan secara merdu dan menyayukan. Tetapi saya lihat di negara lain tidak dilakukan seperti di negara kini. Mengapa kita berbeza?

Jawapannya:
Lafaz takbir hari raya pertama kali dilaungkan pada zaman Rasulullah ialah setelah kemenangan tentera Islam dalam peperangan Ahzab. Itulah kemenangan yang menyelamatkan Islam dan maruah umat Islam setelah kalah dalam peperangan Uhud.
Takbir itu berbunyi seperti berikut:Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.
Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak,
Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang,
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,
Kami ikhlas kepada-Nya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir,
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal,
Yang Menepati janji-Nya, Yang Menolong hamba-Nya,
Dan Yang Memuliakan tentera-Nya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (Kekuasaan-Nya),
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.

Seterusnya takbir itu direalisasikan setiap kali datangnya perayaan umat Islam. Perayaan dalam Islam hakikatnya untuk menyambut hari kemenangan umat Islam. Kalau hari Idulfitri, kemenangan melawan nafsu selama sebulan. Manakala Iduladha menyambut kemenangan setelah berjaya menawan kaabah dan Makkah.
Persoalannya bagaimana Rasulullah dan sahabat mengalunkan takbir itu? Tidak ada hadis yang menceritakan atau meriwayatkan melodi yang dipakai oleh mereka. Oleh sebab tidak ada sejarahnya, maka tidak ada yang boleh diikut, namun kita yakin suara mereka tentu merdu.
Tetapi kenapa orang Arab dan lain-lain negeri selain Asia Tenggara tidak ada melodi yang menarik, sebaliknya mereka baca seperti biasa sahaja? Ini pun tidak boleh dijawab kerana realiti mereka memang tidak minat melagukan mengikut melodi yang menarik. Buktinya, al-Quran yang mereka bacapun tidak ada lagu yang menarik.
Berbeza dengan penduduk di sebelah sini, orang Melayu, Petani dan Indonesia, terkenal dengan lagu dan melodi yang cantik. Lalu diciptalah lagu yang baik. Ulama pada zaman dahulu kreatif, melagukan nasyid, al-Quran, Qasidah, dan juga takbir raya. Tujuannya supaya umat Islam berminat ikut bersama.
Saya percaya kalau orang luar Malaysia datang ke negara kita dalam tempoh yang lama, mereka pun suka dengan lagu yang kita amalkan hari ini. Dan saya percaya juga kalau mereka balik ke negara mereka nanti, lagu ini akan dibawa ke sana.
Percayakah anda, budaya yang kita bentuk ini telah menarik minat semua umat Islam untuk membacanya. Hari ini semua umat Islam boleh membacanya walau sekadar mengikut bacaan orang lain. Tetapi semua itu tidak berlaku di negara luar, anak muda tidak pandai membacanya, malah ada orang dewasa yang tidak tahu membacanya.
Kenapa? Jawapannya ialah bacaan ini tidak dijadikan budaya. Jadi, mereka tidak menghidupkan sunnah Rasulullah. Oleh sebab itu, teruskan budaya yang baik ini demi menegakkan sunnah.