Isnin, 12 September 2011

Mengandung boleh tak berpuasa


Soalan1: Saya difahamkan wanita yang mengandung boleh tidak berpuasa, cuma saya musykil tentang pandangan yang menyatakan perlu bayar kifarat, dan ada yang kata tidak perlu. Minta penjelasan.

Jawapan: Memang betul, wanita atau ibu yang mengandung boleh tidak berpuasa. Tetapi penjelasan mengenainya perlu lebih terperinci kerana hasil salah faham, ramai pula yang tersalah amal. Sebenarnya hukum seumpama ini bukan sahaja kepada ibu mengandung, tetapi juga kepada ibu yang sedang menyusu anaknya.
Terdapat dua kes yang perlu difahami oleh wanita yang terlibat. Kedua-duanya berbeza hukumnya. Supaya kefahamannya lebih jelas, perhatikan kes berikut:
1.       Seorang wanita sedang mengandung anak sulung, oleh sebab tidak ada pengalaman sebelumnya dia risau kerana sering pening dan muntah. Kalau dia terus puasa tentu meletehkan. Dalam keadaan itu dia boleh berbuka puasa.
Suka saya sebut di sini, dalam kitab menyebut boleh berbuka puasa, ini menunjukkan sebelum itu dia telah berpuasa, maka apabila dia tidak sihat bolehlah berbuka puasa. Berdasarkan itu, mereka yang mengandung dalam kategori itu perlu berniat puasa seperti biasa, tetapi apabila tidak dapat dikawal lagi, berbukalah.
Jadi, tidak bolehlah seseorang yang mengandung itu, terus tidak mahu berpuasa sepanjang hari sedangkan pada waktu itu dia masih bermaya.
Mereka yang berbuka puasa atas sebab di atas wajib menqada puasa itu pada bulan syawal nanti. Dan dia tidak perlu bayar sebarang kifarat.
2.       Seorang wanita yang sedang mengandung anak sulung yang usia kandungannya lapan bulan. Dalam keadaan yang sarat itu dia kelihatan kurang bermanya, apatah lagi membawa janin yang semakin membesar. Secara peribadi dia masih mampu meneruskan berpuasa sehingga masa berbuka, tetapi dia bimbang anak yang sedang dikandungnya itu tidak mendapat cukup makanan daripadanya.
Oleh sebab memikirkan anak yang dikandung itu terjejas makanannya, dia berbuka puasa untuk membolehkan dia makan secukupnya. Di sini, dia berbuka puasa bukan kerana dirinya tetapi kerana anaknya. Oleh sebab itu, dia wajib menggantikan puasa itu selepas memasuk Syawal. Tetapi pada hari-hari yang dia tidak berpuasa itu wajib dibayar kifarat dengan kadar secupak beras kepada fakir miskin. Ertinya kifarat itu perlu dibayar segera pada hari berkenaan juga, bukan pada waktu berpuasa ganti.
Perbezaan kes ini boleh dijadikan panduan sekali gus menjawab soalan yang ditimbulkan di atas. Kes yang sama juga boleh dikiaskan pada ibu yang menyusukan anak.

Soalan2: Wanita tidak boleh elak daripada ponteng puasa, persoalannya apabila masuk sahaja dua Syawal, bolehkah mereka niat puasa qada bersama dengan niat puasa enam Syawal.

Jawapan: Benar, persoalan seperti ini sering ditanyakan setiap tahun. Boleh jadi soalan itu dikemukakan oleh orang yang berlainan.  Untuk menjawab persoalan itu suka saya memberikan dua pendekatan dan kedua-dua itu boleh digunakan sebaiknya.
1.       Jika anda mempunyai puasa qada tujuh hari, maka pada 2 Syawal anda boleh berniat puasa qada; “sahaja aku puasa qada ramadan esok hari kerana Allah taala.” Dengan niat itu anda beroleh puasa qada dan pahala sunat syawal juga dapat secara automatik.
Apabila dia sudah melaksanakan puasa qada selama enam hari, maka secara automatik dia sudah melaksanakan puasa enam syawal. Namun kalau dia hendak puasa sunat Syawal lagi selepas itu, masih digalakkan.
2.       Dia juga boleh berniat; “aku puasa qada Ramadan dan sunat syawal esok hari kerana Allah taala,” dengan niat ini dia dikira berpuasa qada dan mendapat pahala sunat syawal. Jadi, puasa Syawalnya sudah memadai.
Walau bagaimanapun ada dalam keadaan tertentu wanita tersilap niat dengan menyebut puasa sunat dahulu, maka dengan itu niat puasa qada tidak terpakai. Supaya lebih jelas perhatikan contoh berikut:
“Aku puasa sunat Syawal dan qada Ramadan esok hari kerana Allah taala,” dengan niat ini hanya sah yang pertama, dan yang kedua itu tidak mengikut. Hal ini kerana puasa sunat lebih kecil daripada puasa qada.
Umat Islam terutama wanita dianjurkan segera menamatkan puasa qada dan sunat enam syawal dalam bulan Syawal untuk membolehkan mereka mendapatkan anugerah puasa setahun. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bemaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan mengikutinya dengan enam Syawal, mereka seolah-olah seperti puasa setahun.”
Ini bermakna kalau seseorang yang Ramadannya tidak lengkap sama ada 29 atau 30 Ramadan tidaklah layak mendapat puasa setahun walaupun enam syawal sudah sempurna. Jadi, rebutlah peluang ini pada tahun ini.

Sabtu, 30 Julai 2011

Syaitan dirantai tetapi umat masih buat dosa

Syaitan dikatakan dirantai sepanjang bulan Ramadan tetapi kenapa masih ada umat Islam melakukan dosa. Apakah peranan syaitan masih ada?

Jawapan: Memang ada hadis yang menyebut bahawa syaitan dirantai dalam bulan Ramadan. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Hadis yang pendek ini memberi maksud bahawa peluang untuk umat Islam meraih pahala dibuka seluasnya dalam bulan Ramadan. Umat Islam boleh lakukan sebanyak mungkin ibadah tanpa gangguan syaitan. Hadis ini juga memberi maksud bahawa peluang untuk melakukan dosa sudah ditutup.
Kalau begitulah maksud hadis di atas, mengapa pula masih ada umat Islam yang melakukan dosa waktu berpuasa malah ada juga yang tidak mahu berpuasa. Siapa yang mengganggu mereka, siapa yang menghasut mereka supaya melakukan dosa tersebut? Inilah barangkali yang dimaksudkan dalam soalan di atas.
Benar, walaupun pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup tidak bermakna semua umat Islam akan berbuat baik. Buat baik atau jahat banyak bergantung kepada hati, kalau hati baik akan terdoronglah kepada kebaikan, begitulah sebaliknya. Kalau hati jahat, walaupun pintu syurga dibuka luas belum tentu boleh menggamit keinginannya untuk masuk.
Manakala syaitan yang dirantai, tujuan adalah supaya ia tidak terlalu bebas keluar masuk menggoda manusia yang berpuasa. Namun kita perlu ingat, walaupun dirantai, matanya masih boleh melihat, akalnya masih boleh befikir. Boleh jadi berdasarkan pengalamannya yang lampau, dia boleh mempengaruhi seseorang melalui jarak jauh. Malah mungkin teknologinya lebih canggih daripada manusia.
Selain itu, kita kena ingat juga setiap manusia dibekalkan nafsu, dan nafsu inilah yang selalu mempengaruhi hati seseorang. Kalau selama ini nafsu bekerjasama dengan syaitan, maka bulan puasa nafsu melakukan gerakan menggoda bersendirian. Mungkin hasil pengalaman selama 11 bulan digunakan untuk satu bulan itu. Inilah hakikat yang ramai umat Islam tidak tahu.
Oleh sebab itu, mulai Ramadan kali ini, bersihkan hati daripada godaan nafsu dan syaitan supaya dengan itu nanti hasutan nafsu dapat ditolak dengan mudah.

Cara qada puasa yang tertinggal

Orang yang meninggal puasa tahun lalu, dia wajib menqada puasa dengan segera. Persoalannya adakah perlu mereka membayar fidyah pada hari-hari mengqada puasa tersebut.

Jawapan: Puasa wajib dilakukan oleh semua umat Islam yang baligh. Mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebab yang munasabah, telah melakukan dosa. Hal ini berbeza dengan orang yang dalam musafir, sakit tua, wanita mengandung, atau menyusukan anak, dibenarkan tidak puasa. Maka mereka dalam keadaan itu tidak berdosa.
Walau bagaimanapun mereka yang meninggalkan puasa sama ada dalam kategori berdosa atau tidak, tetap wajib menggantikannya pada hari-hari selepas Ramadan sebelum tiba Ramadan tahun hadapan. Sungguhpun begitu, dengan qada puasa itu tidaklah menghapuskan dosa meninggalkan puasa. Tapi kalau dia tidak mahu qada maka bertambahlah dosanya. Perlu dijelaskan di sini, hukum menyegerakan qada adalah wajib.
Di sini kalau seseorang itu gagal menghabiskan qada puasanya sebelum tiba Ramadan yang baru, dia dikira berdosa. Maka dia masih wajib mengqada yang bakinya. Oleh sebab qada puasanya sudah melangkau ke tahun lain maka dia wajib membayar fidyah dengan satu cupak beras untuk satu hari yang ditinggalkan. Maknanya kalau sepuluh hari yang ditinggalkan, maka 10 cukup beras yang perlu dikeluarkan. Beras itu hendaklah diberikan kepada fakir miskin sahaja. Menyedari keadaan itu janganlah melambatkan qada puasa.

Amalan sunat dalam bulan Ramadan

Banyak perkara sunat yang boleh dilakukan dalam bulan puasa, apakah setiap amalan sunat yang dilakukan dalam bulan Ramadan itu diberi pahala dengan kadar yang sama?

Jawapan: Segala ibadah sunat yang dilakukan dalam bulan Ramadan akan digandakan pahala oleh Allah, apatah lagi yang bertepatan dengan lailatul qadar. Walau bagaimanapun kalau mereka melakukan ibadah atas desakan tertentu, kerana jamuan di masjid atau kena hendak jumpa seseorang di masjid, tentu pahala ibadahnya tiada.
Seseorang yang menunaikan solat Tarawih sebagai contoh, oleh sebab solat itu wujud dalam bulan Ramadan sahaja, maka nilaian Allah tidak sama seperti ibadah lain. Jika dilakukan secara berjemaah lebih besar nilaiannya. Cuma perlu diingat, solat dinilai pada berapa banyak rakaat yang dilakukan, dan mutu solat setiap rakaat dikerjakan.
Manakala ibadah qabliah dan ba’diah jika dapat dilakukan secara istiqamah dalam bulan Ramadan akan mendapat nilaian Allah yang istimewa juga. Pendek kata semua ibadah dinilai mengikut kualiti ibadah yang dilakukan itu.
Selain itu, ruang lapang yang ada harus dipenuhi dengan membaca al-Quran. Hal ini kerana bacaan ini boleh dibaca di mana-mana yang kita suka. Selain membaca al-Quran, banyak lagi yang boleh dilakukan termasuk menjamu orang berbuka puasa. Sesungguhnya pemberian dalam bentuk makanan yang boleh dimakan lebih besar nilaiannya. Semoga kita beroleh peningkat dalam semua yang diamalkan.

Puasa mengharapkan pahala

Orang berpuasa dengan sempurna akan diberi pahala oleh Allah mengikut nilaian Allah. Bagaimana kalau kita berpuasa kerana mengharapkan pahala? Tidakkah terjejas pernilaian Allah.

Jawapan: Berpuasa kerana mengharapkan pahala adalah tahap manusia biasa yang sedang berusaha ke arah yang lebih baik. Macamlah orang yang bekerja pada tahap buruh dan pekerja biasa, mereka memang hendakkan kepada gaji. Tetapi lain hal pula dengan orang atasan pada peringkat pengarah dan pegawai atasan yang membuat dasar, mereka bekerja bukan lagi kerana gaji tetapi kerana tugas dan amanah.
Sebenarnya tahap orang yang berpuasa terdapat tiga golongan; orang awam, khawas dan khawasul khawas. Golongan orang awam, puasanya sekadar menahan lapar dan dahaga, walaupun mengharapkan pahala namun dosa agak sukar ditinggalkan. Kalau golongan khawas pula, soal dosa sudah dapat dielakkan, puasa yang dilakukan diharapkan keredaan Allah. Manakala golongan khawasul khawas, berpuasa kerana rasa kehambaan, mereka langsung tidak fikirkan soal pahala.
Allah menilai puasa seseorang bukan merujuk kepada ibadah mereka secara lahiriah. Tetapi Allah menilai puasa seseorang mengikut sejauhmana keihlasan hati mereka. Nilaian Allah tidak terpengaruh kepada amalan kebiasaan manusia. Oleh sebab itu orang yang berpuasa perlu ikhlas meninggalkan maksiat sepanjang berpuasa.

Hukum guna inhaler

Memasukkan sesuatu ke dalam rongga boleh membatalkan puasa. Tapi bagaimana kalau seseorang yang menghidap penyakit asma, bolehlah dia menyedut inhaler?

Jawapan:  Inhaler adalah peralatan moden yang diciptakan untuk membantu pesakit lelah. Oleh sebab peralatan ini ciptaan baru malah masih moden, ulama pada zaman dahulu tidak memasukkannya dalam agenda perbincangan mereka. Apatah lagi ulama generasi kitab tua. Sungguhpun begitu baru-baru ini muzakarah jawatankuasa fatwa di negara ini telah membincangkannya secara serius. Dan keputusan yang ambil ialah harus.
Memang pada dasarnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga boleh membatalkan puasa. Ini merujukkan kepada aktiviti makan, minum, bersetubuh atau yang seumpamanya dan berlaku secara sengaja. Bahkan boleh jadi aktiviti tersebut bertujuan tidak mahu berpuasa atau cuba mencabar hukum Allah. Oleh sebab itu perbuatan itu dihukumkan sebagai batal puasa.
Tetapi jika aktiviti yang sama dilakukan secara tidak sengaja atau terlupa, maka tidak membatalkan puasa. Namun apabila dia mula sedar yang dia sedang berpuasa, wajiblah berhenti daripada aktiviti itu dan teruskan berpuasa seperti sebelumnya.
Merujuk kepada kes orang yang sakit asma, dia dalam keadaan biasa boleh berpuasa seperti orang normal. Cuma dia sesekali akan terasa semput. Keadaan ini terjadi tidak menentu masanya. Bagi mengawal keadaan yang tidak menentu itu dia banyak bergantung kepada bantuan inhaler. Maka dalam keadaan puasa, dia bolehlah menggunakan inhaler bila perlu.
Jadi, penggunaan inhaler itu dianggap sebagai terpaksa kerana penyakit ini tidak amaran terlebih dahulu. Selain itu, penggunaannya untuk tujuan rawatan bagi membantu kesembuhan adalah dibenarkan dalam Islam. Wallahu aklam.

Isnin, 4 Julai 2011

Wanita mudah masuk syurga

Wanita mudah masuk syurga itulah jaminan Rasulullah tetapi kenapa jumlah ke neraka ramai wanita?

Jawapan:
Benar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (Riwayat )
Memang mudah wanita masuk syurga, hanya dengan melakukan empat perkara, tetapi manfaatnya bahagia di dalam syurga. Tetapi dalam isra’ nabi baginda digambarkan wanitalah yang paling ramai penghuni neraka. Kenapa jadi begitu? Jawapannya mudah, boleh jadi kerana ramai wanita gagal mematuhi empat perkara tersebut.
Realiti yang kita lihat pada hari, wanita boleh melakukan solat lima waktu dengan baik. Tetapi ramai juga yang melakukannya secara tidak sempurna. Malah ada yang tidak melakukan solat langsung. Solat tidak sempurna samalah seperti tidak solat kerana solatnya tidak mampu mencegah daripada seseorang itu melakukan dosa dan maksiat.
Wanita amat rajin berpuasa, tetapi dalam keadaan berpuasa mereka juga melakukan dosa, sedangkan dosa itu boleh mengurangkan pahala puasa. Semua ini boleh menyebabkan puasanya tidak diterima oleh Allah. Puasanya hanya ibarat berlapar sahaja, tidak ada pahala. Bayangkan dua ibadah ini saja tidak memungkinkan dia masuk syurga.
Bagaimana dengan menjaga maruah dan taatkan suami? Dua perkara ini lebih ramai yang gagal. Maruah diri tidak dijaga sewaktu keluar kerja. Pakaian yang mendedahkan aurat boleh membawa banyak dosa lain selepasnya. Pergaulan bebas juga boleh membawa kepada dosa mulut, mata dan telinga.
Mengenai mentaati suami, realitinya isteri paling ramai gagal memberi ketaatan kepada suaminya. Perintah suami mudah disanggah isteri dan kehendaknya saja yang dipakai. Layakkah mereka itu masuk syurga dalam keadaan itu?
Insaflah wahai wanita yang bergelar isteri. Jangan jadikan diri anda sebagai orang yang pertama masuk ke dalam neraka.

Kenapa wanita perlu minta izin

Kenapa wanita wajib meminta izin suami kalau hendak berpuasa sunat, padahal suaminya tiada di rumah?

Jawapan:
Puasa sunat pada dasarnya untuk semua umat Islam. Sama ada lelaki atau wanita, mereka digalakkan melakukan ibadah itu. Tetapi kita perlu ingat sesuatu yang sunat boleh menjadi wajib dan boleh menjadi haram mengikut keadaan tertentu. Contoh yang mudah ialah; puasa sunat kalau dinazar maka puasa sunat itu menjadi wajib.
Berbalik kepada persoalan di atas, mengapa perlu minta izin suami untuk puasa sunat, maka jawapan mudahnya adalah kerana rasulullah melarang. Hadis daripada Abu Hurairah r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda: Seorang wanita janganlah berpuasa (sunat) ketika suaminya ada, melainkan dengan izin suaminya; dan janganlah dia membolehkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya; dan sesuatu yang disedekahkan isteri daripada hasil usaha suaminya tanpa perintah suami, pahalanya seperdua bagi suami. (Riwayat Muslim)
Tetapi kalau dinilai di sudut hikmah dan fasafahnya adalah untuk keharmonian rumah tangga. Bayangkan kalau suami baru balik daripada musafir yang panjang, tiba di rumah jam 12 tengah malam. Keesokan paginya suami tidak bekerja, cuti ganti. Kebetulan esoknya hari khamis yang disunatkan berpuasa, wajarkan isteri itu berpuasa?
Di sinilah perlunya dia meminta izin suami untuk berpuasa walaupun sudah menjadi kelaziman berpuasa. Kenapa?
1.       Suami tidak bekerja pada siang hari, tentu dia perlukan layanan isteri. Memang menjadi kewajipan isteri melayan suaminya. Terutama jika dia perlukan layanan seks, dia wajib memberinya.
2.       Kalau dia berpuasa, tentu dia kena batalkan pula. Tentu tidak wajar ibadah yang telah diniatkan kemudian dibatalkan pula. Patutkah kita bermain-main dengan Allah? Walaupun boleh membatalkan puasa itu tetapi kita sudah tidak berakhlak dengan Allah.
3.       Katalah dia berpuasa sedangkan suami berhajat kepadanya. Tetapi demi menghormati kehendak isteri, dia terpaksa menahan nafsunya. Keadaan ini menjadikannya menyeksa suaminya sendiri.

Wanita keluar malam untuk solat

Bolehkah wanita keluar malam untuk aktiviti agama sepeti solat dan belajar agama?

Jawapan:
Wanita keluar pada waktu malam untuk aktiviti agama kalau dikiaskan dengan persoalan di atas, hukumnya adalah sama. Bayangkan kalau keluar pada siang hari seorang diri boleh mengundang bahawa, tentulah malam lebih awla, lebih patut mereka tidak keluar malam. Hal ini kerana lazimnya keselamatan pada waktu malam lebih tidak terjamin.
Walau bagaimanapun kalau keluar rumah secara ramai-ramai untuk ke masjid pada bulan Ramadan tidak menjadi masalah. Begitu juga kalau keluar untuk belajar fardu ain di masjid. Hal ini kerana lazimnya mereka keluar dengan berteman.
Di sini mungkin timbul persoalan, bolehkah pelajar universiti keluar malam untuk aktiviti persatuan atau kuliah malam? Jelas pelajar universiti mempunyai aktiviti khas yang diperlukan penglibatan mereka. Maka kedudukannya sama seperti pergi ke masjid untuk belajar dan solat. Mereka boleh keluar dalam jumlah yang ramai. Kalau keluar seorang diri, sudah tentu terjelas keselamatan mereka.
Menyedari keadaan itu, mereka harus keluar berteman. Tetapi perlu diingat, banyak peristiwa yang tidak diingini berlaku dalam kampus akhir-akhir ini. Ada wanita yang mengandung dan pembuangan bayi, semuanya atas alasan keluar untuk aktiviti yang baik. Mereka ini hakikatnya menipu diri sendiri.

Keharusan wanita bekerja

Bagaimana kalau wanita keluar rumah untuk urusan kerja atau ke pasar di tanah air sendiri?

Jawapan:
Dalam Islam wanita tidak dibenarkan keluar seorang diri ke mana-mana tempat kecuali laluan selamat. Larangan ini adalah untuk keselamatan wanita itu sendiri. Di sini timbul persoalan, hari ini wanita bekerjaya keluar rumah menaiki bas dan teksi tanpa teman. Apakah mereka dibenarkan dan adakah keadaan itu selamat?
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin hafidhahullah pernah ditanya: “Bolehkah seorang wanita keluar menuju pasar tanpa disertai mahramnya dan bilakah yang demikian itu dibolehkan dan bila pula diharamkannya?”
Beliau menjawab: “Pada dasarnya, keluar seseorang wanita menuju pasar adalah boleh dan tidak disyaratkan bersamanya mahram kecuali jika dikhawatirkan terjadi fitnah. Dalam keadaan demikian ia tidak dibenarkan keluar kecuali jika disertai mahram yang menjaga dan melindunginya. Namun hukum kebenaran keluar menuju pasar adalah dengan syarat tidak berhias dan tidak memakai minyak wangi kerana Rasulullah SAW telah melarangnya.”
Bukankah wanita keluar seorang diri ke tempat tunggu bas dan teksi pada waktu pagi mendedahkan mereka kepada bahaya? Lain halnya kalau tempat tunggu itu dekat dengan rumahnya, tentunya selamat. Kalau bapa atau suami menghantarnya ke tempat itu maka keselamatan mereka agak terjamin. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian.
Bagaimana kalau mereka naik bas yang ramai orang? Secara zahirnya dilihat seperti selamat tetapi pernah kita dilaporkan wanita diganggu dalam bas. Ertinya mereka juga tidak selamat dalam keadaan itu. Apatah lagi kalau mereka naik teksi yang pemandunya lelaki sedangkan wanita seorang di belakangnya. Bolehkah wanita itu selamat?
Oleh sebab itu, wanita pada keadaan ini perlu ditemani mahram atau sekurang-kurangnya seorang wanita lain yang boleh dipercayai akhlaknya. Mereka yang maksudnya mestilah kawan sekerja, kawan sekampung atau kawan serumah. Jika mereka keluar seorang diri dalam keadaan terpaksa kerana tiada teman, maka keluarnya ke tempat kerja itu adalah berdosa. Inilah yang seharusnya difahami oleh wanita muslimah.

Kenapa wanita tidak dibenarkan ke Makkah tanpa mahram?
Kalau kita lihat pada hukum di atas, sudah begitu ketat betapalah kalau wanita itu bermusafir ke Makkah. Kalau wanita bermusafir di dalam negara perlukan berteman, inikah pula kalau mereka hendak mengerjakan haji di Makkah.
Rasalullah bersabda yang bermaksud:
“Wanita tidak harus bermusafir kecuali ada bersamanya mahram dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada bersamanya mahram.”
Dalam hadis yang lain bermaksud: “Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram dan tidak harus musafir kecuali bersamanya mahram.”
Jadi, mereka perlu ditemani oleh mahram atau wanita yang siqah, yang boleh dipercayai akhlaknya. Mahram hendaklah terdiri daripada suami, bapa, bapa saudara atau anak lelaki yang sudah baligh. Mereka ini boleh menjaga keselamatan wanita tersebut. Manakala wanita siqah pula ialah wanita yang baik akhlaknya. Mereka juga boleh menjaga keselamatan bersama.
Menjawab persoalan kenapa tidak dibenarkan, selain hadis di atas, sudah tentulah kerana keselamatan wanita yang perjalanannya jauh dan memakan masa yang lama. Mahukah mereka berada dalam keadaan berdosa di perantauan? Itulah sebabnya mengapa mereka yang tiada mahram tidak dibenarkan untuk mengerjakan haji.

Isnin, 14 Februari 2011

Anak tak sah taraf, ibu perlu bertanggungjawab

Ahmad Baei Jaafar
Dalam enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri memperuntukkan seseorang bayi yang dilahirkan enam bulan satu lahzah selepas ibu bapa bayi tersebut berkahwin, adalah dikira anak sah taraf. Namun kerajaan Selangor mengenakan syarat yang hendaklah kedua ibu bapa tersebut tidak menyedari akan kehamilannya. Persoalannya, apakah akan terjadi kepada anak perempuan kalau kedua-dua ibu bapanya menyembunyikan fakta?
Dalam masyarakat Melayu dahulu, apabila pasangan lelaki perempuan ditangkap khalwat, terus dikahwinkan. Istilah yang digunakan ialah tangkap basah. Istilah ini relevan pada masa itu kerana lazimnya mereka yang ditangkap itu sedang tenggelam dalam lautan zina.
Mereka yang berjaya dikahwinkan pada masa itu, mungkin berasa malu seketika kerana berkahwin secara instant. Kahwin tanpa belanja sesen pun. Namun ada juga lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab lalu dia menghilangkan diri setelah pasangannya disahkan mengandung. Maka untuk menyelamatkan keadaan ibu bapa wanita itu terpaksa mencari lelaki lain untuk dijadikan pak sanggup bagi anak yang kandung anaknya.
Walau bagaimanapun keadaan seperti itu tidak berlakukan lagi pada hari ini. Perubahan zaman, tidak lagi mengizinkan pasangan yang ditangkap basah itu dikahwinkan. Mereka perlu didakwa dan dihukum dan didenda. Selepas itu barulah mereka boleh berkahwin. Pada masa yang sama, perkahwinan secara pak sanggup juga tidak dibenarkan.
Tetapi jika mereka bijak dan tidak didakwa maka berpanjanganlah dosa dan maksiat mereka apatah lagi maksiat yang dilakukan itu di tempat yang sukar disyakki. Keadaan ini menyebabkan mereka yang sudah terlanjur terpaksa menanggung malu selama sembilan bulan. Dan dalam keadaan itu, lelaki yang terbabit akan lari melepaskan diri, hidup bebas tanpa didakwa.
Kesan daripada itu jugalah ramai wanita yang terlanjur itu mengambil pendekatan mengugurkan anak. Dan jika gagal terpaksalah menunggu tarikh kelahiran dan selepas itu membuang anak kerana tidak mahu terus menanggung malu. Inilah yang sering berlaku dalam sekitar tahun 90-an.
Tahun 2000 terdapat sedikit pindaan baru pada enakmen undang-undang keluarga Islam iaitu dengan memasukkan peruntukan anak sah taraf. Peruntukan itu berdasarkan hukum bahawa sekurang-kurang umur janin yang boleh lahir hidup ialah enam bulan. Dengan peruntukan baru itu seseorang yang berkahwin dan setelah enam bulan kemudian isterinya melahirkan anak, maka anak itu sudah dikira anak sah taraf. Dan bolehlah dibin atau bintikan kepada bapanya.
Dengan adanya peruntukan ini, ramailah yang terlanjur mengambil pendekatan berkahwin segera. Dan pihak Jabatan Agama Islam negeri tidak boleh menghalang perkahwinan mereka. Inilah jalan yang selamat demi menjaga maruah mereka. Sekali gus mengelak lelaki yang tidak bertanggungjawab terus menganiayai wanita.
Walau bagaimanapun kerajaan Selangor dalam fatwa terbaru memasukkan syarat dalam peruntukan itu, iaitu semasa perkahwinan mereka berdua hendaklah belum disahkan mengandung. Maknanya mereka itu berkahwin kerana terlanjur bukan kerana mengandung. Tetapi kalau mereka berkahwin kerana sudah mengandung, anak itu tetap tidak sah taraf.
Dalam soal ini ibulah yang harus bertanggungjawab menentukan sama ada anak itu sah taraf atau tidak. Memanglah peruntukan undang-undang ini untuk menyelamatkan maruah mereka, dan menutup keaiban ibu dan anak. Lalu dengan itu, nama anak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.
Tetapi dalam soal menjadi wali bagi perkahwinan anak perempuannya, ibu perlu bertanggunjawab. Hal ini kerana hanya ibu sahaja yang tahu kedudukan anaknya di sini syariat. Dia boleh sembunyikan hal ini daripada pengetahuan orang ramai, tetapi dia tidak boleh membiarkan anaknya dikahwinkan oleh walinya yang tidak sah.
Cuba anda bayangkan, seorang ibu sebelum dikahwinkan sudah tahu bahawa dia sudah mengandung tiga bulan. Menyedari keadaan itu mereka segera dikahwinkan. Memanglah setelah enam bulan berkahwin, akan lahir anaknya. Ketika itu dia boleh membintikan anak perempuannya kepada bapanya. Tetapi untuk menjadi wali pekahwinan, kalau mengikut undang-undang Selangor, dia tidak layak menjadi wali.
Kalau perkahwinan itu diteruskan juga, seolah-olah dia tidak tahu bahawa dia mengandung sebelum berkahwin, secara zahirnya kahwinnya sah. Tetapi ibunya akan bertanggungjawab di hadapan Allah kalau dia menyembunyikan perkara yang dia tahu. Mahukah dia membiarkan anaknya berkahwin secara tidak sah hanya kerana dia mahu menyembunyikan fakta yang penting mengenai status anaknya.
Jadi, marilah kita jaga diri dan maruah kita dan anak-anak kita dengan tidak mudah melakukan kerja dosa sama ada sedar atau tidak.