Sabtu, 30 Julai 2011

Amalan sunat dalam bulan Ramadan

Banyak perkara sunat yang boleh dilakukan dalam bulan puasa, apakah setiap amalan sunat yang dilakukan dalam bulan Ramadan itu diberi pahala dengan kadar yang sama?

Jawapan: Segala ibadah sunat yang dilakukan dalam bulan Ramadan akan digandakan pahala oleh Allah, apatah lagi yang bertepatan dengan lailatul qadar. Walau bagaimanapun kalau mereka melakukan ibadah atas desakan tertentu, kerana jamuan di masjid atau kena hendak jumpa seseorang di masjid, tentu pahala ibadahnya tiada.
Seseorang yang menunaikan solat Tarawih sebagai contoh, oleh sebab solat itu wujud dalam bulan Ramadan sahaja, maka nilaian Allah tidak sama seperti ibadah lain. Jika dilakukan secara berjemaah lebih besar nilaiannya. Cuma perlu diingat, solat dinilai pada berapa banyak rakaat yang dilakukan, dan mutu solat setiap rakaat dikerjakan.
Manakala ibadah qabliah dan ba’diah jika dapat dilakukan secara istiqamah dalam bulan Ramadan akan mendapat nilaian Allah yang istimewa juga. Pendek kata semua ibadah dinilai mengikut kualiti ibadah yang dilakukan itu.
Selain itu, ruang lapang yang ada harus dipenuhi dengan membaca al-Quran. Hal ini kerana bacaan ini boleh dibaca di mana-mana yang kita suka. Selain membaca al-Quran, banyak lagi yang boleh dilakukan termasuk menjamu orang berbuka puasa. Sesungguhnya pemberian dalam bentuk makanan yang boleh dimakan lebih besar nilaiannya. Semoga kita beroleh peningkat dalam semua yang diamalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan