Isnin, 14 Februari 2011

Anak tak sah taraf, ibu perlu bertanggungjawab

Ahmad Baei Jaafar
Dalam enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri memperuntukkan seseorang bayi yang dilahirkan enam bulan satu lahzah selepas ibu bapa bayi tersebut berkahwin, adalah dikira anak sah taraf. Namun kerajaan Selangor mengenakan syarat yang hendaklah kedua ibu bapa tersebut tidak menyedari akan kehamilannya. Persoalannya, apakah akan terjadi kepada anak perempuan kalau kedua-dua ibu bapanya menyembunyikan fakta?
Dalam masyarakat Melayu dahulu, apabila pasangan lelaki perempuan ditangkap khalwat, terus dikahwinkan. Istilah yang digunakan ialah tangkap basah. Istilah ini relevan pada masa itu kerana lazimnya mereka yang ditangkap itu sedang tenggelam dalam lautan zina.
Mereka yang berjaya dikahwinkan pada masa itu, mungkin berasa malu seketika kerana berkahwin secara instant. Kahwin tanpa belanja sesen pun. Namun ada juga lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab lalu dia menghilangkan diri setelah pasangannya disahkan mengandung. Maka untuk menyelamatkan keadaan ibu bapa wanita itu terpaksa mencari lelaki lain untuk dijadikan pak sanggup bagi anak yang kandung anaknya.
Walau bagaimanapun keadaan seperti itu tidak berlakukan lagi pada hari ini. Perubahan zaman, tidak lagi mengizinkan pasangan yang ditangkap basah itu dikahwinkan. Mereka perlu didakwa dan dihukum dan didenda. Selepas itu barulah mereka boleh berkahwin. Pada masa yang sama, perkahwinan secara pak sanggup juga tidak dibenarkan.
Tetapi jika mereka bijak dan tidak didakwa maka berpanjanganlah dosa dan maksiat mereka apatah lagi maksiat yang dilakukan itu di tempat yang sukar disyakki. Keadaan ini menyebabkan mereka yang sudah terlanjur terpaksa menanggung malu selama sembilan bulan. Dan dalam keadaan itu, lelaki yang terbabit akan lari melepaskan diri, hidup bebas tanpa didakwa.
Kesan daripada itu jugalah ramai wanita yang terlanjur itu mengambil pendekatan mengugurkan anak. Dan jika gagal terpaksalah menunggu tarikh kelahiran dan selepas itu membuang anak kerana tidak mahu terus menanggung malu. Inilah yang sering berlaku dalam sekitar tahun 90-an.
Tahun 2000 terdapat sedikit pindaan baru pada enakmen undang-undang keluarga Islam iaitu dengan memasukkan peruntukan anak sah taraf. Peruntukan itu berdasarkan hukum bahawa sekurang-kurang umur janin yang boleh lahir hidup ialah enam bulan. Dengan peruntukan baru itu seseorang yang berkahwin dan setelah enam bulan kemudian isterinya melahirkan anak, maka anak itu sudah dikira anak sah taraf. Dan bolehlah dibin atau bintikan kepada bapanya.
Dengan adanya peruntukan ini, ramailah yang terlanjur mengambil pendekatan berkahwin segera. Dan pihak Jabatan Agama Islam negeri tidak boleh menghalang perkahwinan mereka. Inilah jalan yang selamat demi menjaga maruah mereka. Sekali gus mengelak lelaki yang tidak bertanggungjawab terus menganiayai wanita.
Walau bagaimanapun kerajaan Selangor dalam fatwa terbaru memasukkan syarat dalam peruntukan itu, iaitu semasa perkahwinan mereka berdua hendaklah belum disahkan mengandung. Maknanya mereka itu berkahwin kerana terlanjur bukan kerana mengandung. Tetapi kalau mereka berkahwin kerana sudah mengandung, anak itu tetap tidak sah taraf.
Dalam soal ini ibulah yang harus bertanggungjawab menentukan sama ada anak itu sah taraf atau tidak. Memanglah peruntukan undang-undang ini untuk menyelamatkan maruah mereka, dan menutup keaiban ibu dan anak. Lalu dengan itu, nama anak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.
Tetapi dalam soal menjadi wali bagi perkahwinan anak perempuannya, ibu perlu bertanggunjawab. Hal ini kerana hanya ibu sahaja yang tahu kedudukan anaknya di sini syariat. Dia boleh sembunyikan hal ini daripada pengetahuan orang ramai, tetapi dia tidak boleh membiarkan anaknya dikahwinkan oleh walinya yang tidak sah.
Cuba anda bayangkan, seorang ibu sebelum dikahwinkan sudah tahu bahawa dia sudah mengandung tiga bulan. Menyedari keadaan itu mereka segera dikahwinkan. Memanglah setelah enam bulan berkahwin, akan lahir anaknya. Ketika itu dia boleh membintikan anak perempuannya kepada bapanya. Tetapi untuk menjadi wali pekahwinan, kalau mengikut undang-undang Selangor, dia tidak layak menjadi wali.
Kalau perkahwinan itu diteruskan juga, seolah-olah dia tidak tahu bahawa dia mengandung sebelum berkahwin, secara zahirnya kahwinnya sah. Tetapi ibunya akan bertanggungjawab di hadapan Allah kalau dia menyembunyikan perkara yang dia tahu. Mahukah dia membiarkan anaknya berkahwin secara tidak sah hanya kerana dia mahu menyembunyikan fakta yang penting mengenai status anaknya.
Jadi, marilah kita jaga diri dan maruah kita dan anak-anak kita dengan tidak mudah melakukan kerja dosa sama ada sedar atau tidak.