Isnin, 4 Julai 2011

Keharusan wanita bekerja

Bagaimana kalau wanita keluar rumah untuk urusan kerja atau ke pasar di tanah air sendiri?

Jawapan:
Dalam Islam wanita tidak dibenarkan keluar seorang diri ke mana-mana tempat kecuali laluan selamat. Larangan ini adalah untuk keselamatan wanita itu sendiri. Di sini timbul persoalan, hari ini wanita bekerjaya keluar rumah menaiki bas dan teksi tanpa teman. Apakah mereka dibenarkan dan adakah keadaan itu selamat?
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin hafidhahullah pernah ditanya: “Bolehkah seorang wanita keluar menuju pasar tanpa disertai mahramnya dan bilakah yang demikian itu dibolehkan dan bila pula diharamkannya?”
Beliau menjawab: “Pada dasarnya, keluar seseorang wanita menuju pasar adalah boleh dan tidak disyaratkan bersamanya mahram kecuali jika dikhawatirkan terjadi fitnah. Dalam keadaan demikian ia tidak dibenarkan keluar kecuali jika disertai mahram yang menjaga dan melindunginya. Namun hukum kebenaran keluar menuju pasar adalah dengan syarat tidak berhias dan tidak memakai minyak wangi kerana Rasulullah SAW telah melarangnya.”
Bukankah wanita keluar seorang diri ke tempat tunggu bas dan teksi pada waktu pagi mendedahkan mereka kepada bahaya? Lain halnya kalau tempat tunggu itu dekat dengan rumahnya, tentunya selamat. Kalau bapa atau suami menghantarnya ke tempat itu maka keselamatan mereka agak terjamin. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian.
Bagaimana kalau mereka naik bas yang ramai orang? Secara zahirnya dilihat seperti selamat tetapi pernah kita dilaporkan wanita diganggu dalam bas. Ertinya mereka juga tidak selamat dalam keadaan itu. Apatah lagi kalau mereka naik teksi yang pemandunya lelaki sedangkan wanita seorang di belakangnya. Bolehkah wanita itu selamat?
Oleh sebab itu, wanita pada keadaan ini perlu ditemani mahram atau sekurang-kurangnya seorang wanita lain yang boleh dipercayai akhlaknya. Mereka yang maksudnya mestilah kawan sekerja, kawan sekampung atau kawan serumah. Jika mereka keluar seorang diri dalam keadaan terpaksa kerana tiada teman, maka keluarnya ke tempat kerja itu adalah berdosa. Inilah yang seharusnya difahami oleh wanita muslimah.

Kenapa wanita tidak dibenarkan ke Makkah tanpa mahram?
Kalau kita lihat pada hukum di atas, sudah begitu ketat betapalah kalau wanita itu bermusafir ke Makkah. Kalau wanita bermusafir di dalam negara perlukan berteman, inikah pula kalau mereka hendak mengerjakan haji di Makkah.
Rasalullah bersabda yang bermaksud:
“Wanita tidak harus bermusafir kecuali ada bersamanya mahram dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada bersamanya mahram.”
Dalam hadis yang lain bermaksud: “Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram dan tidak harus musafir kecuali bersamanya mahram.”
Jadi, mereka perlu ditemani oleh mahram atau wanita yang siqah, yang boleh dipercayai akhlaknya. Mahram hendaklah terdiri daripada suami, bapa, bapa saudara atau anak lelaki yang sudah baligh. Mereka ini boleh menjaga keselamatan wanita tersebut. Manakala wanita siqah pula ialah wanita yang baik akhlaknya. Mereka juga boleh menjaga keselamatan bersama.
Menjawab persoalan kenapa tidak dibenarkan, selain hadis di atas, sudah tentulah kerana keselamatan wanita yang perjalanannya jauh dan memakan masa yang lama. Mahukah mereka berada dalam keadaan berdosa di perantauan? Itulah sebabnya mengapa mereka yang tiada mahram tidak dibenarkan untuk mengerjakan haji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan