Memaparkan catatan dengan label Muslimah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muslimah. Papar semua catatan

Isnin, 4 Julai 2011

Wanita mudah masuk syurga

Wanita mudah masuk syurga itulah jaminan Rasulullah tetapi kenapa jumlah ke neraka ramai wanita?

Jawapan:
Benar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (Riwayat )
Memang mudah wanita masuk syurga, hanya dengan melakukan empat perkara, tetapi manfaatnya bahagia di dalam syurga. Tetapi dalam isra’ nabi baginda digambarkan wanitalah yang paling ramai penghuni neraka. Kenapa jadi begitu? Jawapannya mudah, boleh jadi kerana ramai wanita gagal mematuhi empat perkara tersebut.
Realiti yang kita lihat pada hari, wanita boleh melakukan solat lima waktu dengan baik. Tetapi ramai juga yang melakukannya secara tidak sempurna. Malah ada yang tidak melakukan solat langsung. Solat tidak sempurna samalah seperti tidak solat kerana solatnya tidak mampu mencegah daripada seseorang itu melakukan dosa dan maksiat.
Wanita amat rajin berpuasa, tetapi dalam keadaan berpuasa mereka juga melakukan dosa, sedangkan dosa itu boleh mengurangkan pahala puasa. Semua ini boleh menyebabkan puasanya tidak diterima oleh Allah. Puasanya hanya ibarat berlapar sahaja, tidak ada pahala. Bayangkan dua ibadah ini saja tidak memungkinkan dia masuk syurga.
Bagaimana dengan menjaga maruah dan taatkan suami? Dua perkara ini lebih ramai yang gagal. Maruah diri tidak dijaga sewaktu keluar kerja. Pakaian yang mendedahkan aurat boleh membawa banyak dosa lain selepasnya. Pergaulan bebas juga boleh membawa kepada dosa mulut, mata dan telinga.
Mengenai mentaati suami, realitinya isteri paling ramai gagal memberi ketaatan kepada suaminya. Perintah suami mudah disanggah isteri dan kehendaknya saja yang dipakai. Layakkah mereka itu masuk syurga dalam keadaan itu?
Insaflah wahai wanita yang bergelar isteri. Jangan jadikan diri anda sebagai orang yang pertama masuk ke dalam neraka.

Kenapa wanita perlu minta izin

Kenapa wanita wajib meminta izin suami kalau hendak berpuasa sunat, padahal suaminya tiada di rumah?

Jawapan:
Puasa sunat pada dasarnya untuk semua umat Islam. Sama ada lelaki atau wanita, mereka digalakkan melakukan ibadah itu. Tetapi kita perlu ingat sesuatu yang sunat boleh menjadi wajib dan boleh menjadi haram mengikut keadaan tertentu. Contoh yang mudah ialah; puasa sunat kalau dinazar maka puasa sunat itu menjadi wajib.
Berbalik kepada persoalan di atas, mengapa perlu minta izin suami untuk puasa sunat, maka jawapan mudahnya adalah kerana rasulullah melarang. Hadis daripada Abu Hurairah r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda: Seorang wanita janganlah berpuasa (sunat) ketika suaminya ada, melainkan dengan izin suaminya; dan janganlah dia membolehkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya; dan sesuatu yang disedekahkan isteri daripada hasil usaha suaminya tanpa perintah suami, pahalanya seperdua bagi suami. (Riwayat Muslim)
Tetapi kalau dinilai di sudut hikmah dan fasafahnya adalah untuk keharmonian rumah tangga. Bayangkan kalau suami baru balik daripada musafir yang panjang, tiba di rumah jam 12 tengah malam. Keesokan paginya suami tidak bekerja, cuti ganti. Kebetulan esoknya hari khamis yang disunatkan berpuasa, wajarkan isteri itu berpuasa?
Di sinilah perlunya dia meminta izin suami untuk berpuasa walaupun sudah menjadi kelaziman berpuasa. Kenapa?
1.       Suami tidak bekerja pada siang hari, tentu dia perlukan layanan isteri. Memang menjadi kewajipan isteri melayan suaminya. Terutama jika dia perlukan layanan seks, dia wajib memberinya.
2.       Kalau dia berpuasa, tentu dia kena batalkan pula. Tentu tidak wajar ibadah yang telah diniatkan kemudian dibatalkan pula. Patutkah kita bermain-main dengan Allah? Walaupun boleh membatalkan puasa itu tetapi kita sudah tidak berakhlak dengan Allah.
3.       Katalah dia berpuasa sedangkan suami berhajat kepadanya. Tetapi demi menghormati kehendak isteri, dia terpaksa menahan nafsunya. Keadaan ini menjadikannya menyeksa suaminya sendiri.

Wanita keluar malam untuk solat

Bolehkah wanita keluar malam untuk aktiviti agama sepeti solat dan belajar agama?

Jawapan:
Wanita keluar pada waktu malam untuk aktiviti agama kalau dikiaskan dengan persoalan di atas, hukumnya adalah sama. Bayangkan kalau keluar pada siang hari seorang diri boleh mengundang bahawa, tentulah malam lebih awla, lebih patut mereka tidak keluar malam. Hal ini kerana lazimnya keselamatan pada waktu malam lebih tidak terjamin.
Walau bagaimanapun kalau keluar rumah secara ramai-ramai untuk ke masjid pada bulan Ramadan tidak menjadi masalah. Begitu juga kalau keluar untuk belajar fardu ain di masjid. Hal ini kerana lazimnya mereka keluar dengan berteman.
Di sini mungkin timbul persoalan, bolehkah pelajar universiti keluar malam untuk aktiviti persatuan atau kuliah malam? Jelas pelajar universiti mempunyai aktiviti khas yang diperlukan penglibatan mereka. Maka kedudukannya sama seperti pergi ke masjid untuk belajar dan solat. Mereka boleh keluar dalam jumlah yang ramai. Kalau keluar seorang diri, sudah tentu terjelas keselamatan mereka.
Menyedari keadaan itu, mereka harus keluar berteman. Tetapi perlu diingat, banyak peristiwa yang tidak diingini berlaku dalam kampus akhir-akhir ini. Ada wanita yang mengandung dan pembuangan bayi, semuanya atas alasan keluar untuk aktiviti yang baik. Mereka ini hakikatnya menipu diri sendiri.

Keharusan wanita bekerja

Bagaimana kalau wanita keluar rumah untuk urusan kerja atau ke pasar di tanah air sendiri?

Jawapan:
Dalam Islam wanita tidak dibenarkan keluar seorang diri ke mana-mana tempat kecuali laluan selamat. Larangan ini adalah untuk keselamatan wanita itu sendiri. Di sini timbul persoalan, hari ini wanita bekerjaya keluar rumah menaiki bas dan teksi tanpa teman. Apakah mereka dibenarkan dan adakah keadaan itu selamat?
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin hafidhahullah pernah ditanya: “Bolehkah seorang wanita keluar menuju pasar tanpa disertai mahramnya dan bilakah yang demikian itu dibolehkan dan bila pula diharamkannya?”
Beliau menjawab: “Pada dasarnya, keluar seseorang wanita menuju pasar adalah boleh dan tidak disyaratkan bersamanya mahram kecuali jika dikhawatirkan terjadi fitnah. Dalam keadaan demikian ia tidak dibenarkan keluar kecuali jika disertai mahram yang menjaga dan melindunginya. Namun hukum kebenaran keluar menuju pasar adalah dengan syarat tidak berhias dan tidak memakai minyak wangi kerana Rasulullah SAW telah melarangnya.”
Bukankah wanita keluar seorang diri ke tempat tunggu bas dan teksi pada waktu pagi mendedahkan mereka kepada bahaya? Lain halnya kalau tempat tunggu itu dekat dengan rumahnya, tentunya selamat. Kalau bapa atau suami menghantarnya ke tempat itu maka keselamatan mereka agak terjamin. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian.
Bagaimana kalau mereka naik bas yang ramai orang? Secara zahirnya dilihat seperti selamat tetapi pernah kita dilaporkan wanita diganggu dalam bas. Ertinya mereka juga tidak selamat dalam keadaan itu. Apatah lagi kalau mereka naik teksi yang pemandunya lelaki sedangkan wanita seorang di belakangnya. Bolehkah wanita itu selamat?
Oleh sebab itu, wanita pada keadaan ini perlu ditemani mahram atau sekurang-kurangnya seorang wanita lain yang boleh dipercayai akhlaknya. Mereka yang maksudnya mestilah kawan sekerja, kawan sekampung atau kawan serumah. Jika mereka keluar seorang diri dalam keadaan terpaksa kerana tiada teman, maka keluarnya ke tempat kerja itu adalah berdosa. Inilah yang seharusnya difahami oleh wanita muslimah.

Kenapa wanita tidak dibenarkan ke Makkah tanpa mahram?
Kalau kita lihat pada hukum di atas, sudah begitu ketat betapalah kalau wanita itu bermusafir ke Makkah. Kalau wanita bermusafir di dalam negara perlukan berteman, inikah pula kalau mereka hendak mengerjakan haji di Makkah.
Rasalullah bersabda yang bermaksud:
“Wanita tidak harus bermusafir kecuali ada bersamanya mahram dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada bersamanya mahram.”
Dalam hadis yang lain bermaksud: “Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram dan tidak harus musafir kecuali bersamanya mahram.”
Jadi, mereka perlu ditemani oleh mahram atau wanita yang siqah, yang boleh dipercayai akhlaknya. Mahram hendaklah terdiri daripada suami, bapa, bapa saudara atau anak lelaki yang sudah baligh. Mereka ini boleh menjaga keselamatan wanita tersebut. Manakala wanita siqah pula ialah wanita yang baik akhlaknya. Mereka juga boleh menjaga keselamatan bersama.
Menjawab persoalan kenapa tidak dibenarkan, selain hadis di atas, sudah tentulah kerana keselamatan wanita yang perjalanannya jauh dan memakan masa yang lama. Mahukah mereka berada dalam keadaan berdosa di perantauan? Itulah sebabnya mengapa mereka yang tiada mahram tidak dibenarkan untuk mengerjakan haji.