Soalan1
Saya selalu membaca buku agama yang menyatakan bahawa kita
perlu ikhlas dalam buat sesuatu kerja atau amalan. Tetapi saya tidak tahu bagaimana
yang dikatakan ikhlas dan cara untuk menjadikan hati kita ikhlas hanya kerana
Allah.
Jawapan:
Sebenarnya ikhlas
bermaksud solid atau bersih. Maknanya kalau anda beribadah memang niatnya
kerana Allah tetapi dalam melakukan solat sebagai contoh, kita tambahkan niat
lain seperti, nanti orang akan kata aku orang beriman, supaya aku mudah dapat
kerja, supaya Allah perkenankan doa ku dll lagi. Niat-niat seumpama itulah yang
menunjukkan kita tidak ikhlas.
Dalam contoh yang
lain, kalau kita berkawan dengan seseorang lelaki, niat kita nak jadikan dia
pasangan suami isteri. Niat kita ini dapat dinilai dengan kejujuran kita
berkawan dengannya, iaitu tidak mengambil kesempatan terhadap persahabatan itu.
Barulah dia dikatakan ikhlas.
Sebaliknya seseorang
yang niatnya tidak ikhlas dalam berkawan, dia tentu mempunyai niat yang lain
selain niat asal. Walaupun asalnya kita berniat untuk menjadikan dia pasangan
suami isteri, tetapi ada lagi niat yang mendampinginya antaranya, nak mudah minta
duit, nak lepaskan nafsu, dan pada masa yang sama dia berkasih juga dengan
orang lain.
Jadi, ikhlas hanya jika
kepada yang satu. Dalam hal ini kita sendiri boleh menilai keikhlasan hati kita
sama ada ikhlas atau tidak. Oleh sebab itu, kita perlu membiasakan diri dengan
fokus pada niat yang satu. Meskipun niat itu gagal, kita masih ada masa untuk
membetulkan semula niat itu.
Soalan2
Harta pusaka
dibahagikan lebih kepada anak lelaki, sedangkan lazimnya anak perempuanlah yang
banyak menjaga ibu atau bapa yang sakit hingga meninggal dunia. Boleh tak untuk
kes sebagini mereka mendapat lebih?
Jawapan:
Harta pusaka telah
ditetapkan oleh Allah kadar yang perlu dibahagikan kepada waris. Apabila Allah
menetapkan begitu tentulah ada sebab yang munasabah. Allah tahu apa yang
terbaik untuk hambanya. Mungkin sesuatu yang kita anggap tidak munasabah tetapi
pada Allah ada kebaikannya.
Mengapa Allah
tetapkan pada anak lelaki lebih banyak berbanding anak perempuan? Allah telah
menjawab dalam ayat-ayat tentang waris iaitu antaranya lelaki telah dipertanggungjawabkan
memberi nafkah kepada tanggungannya. Sedangkan perempuan harta yang diperoleh
itu hanya untuknya sahaja. Dalam keadaan itu wajarlah anak lelaki diberi lebih.
Merujuk kepada
soalan di atas, anak perempuan yang lazimnya menjaga ibu atau bapa yang sakit
hingga mati, tidaklah boleh dikaitkan dengan harta pusaka. Waktu ibu bapanya
sakit, menjadi tanggungjawab anak yang berpendapatan membantu ibu bapanya.
Kalau dia tidak mampu, berikan wang mereka kepada mana-mana adik perempuan yang
mahu menjaganya. Itulah pengorbanan anak kepada ibu bapanya.
Apabila kedua-duanya
meninggal dunia, harta pusaka akan diagihkan mengikut kadar yang ditetapkan
Allah. Lainlah kalau sebagai mengenang jasa anak itu, ibu atau bapa sebelum
meninggal dunia menghibahkan sesuatu harta untuknya. Walaupun dia sudah
mendapat hibah, bahagian pusaka untuknya masih menjadi haknya.
Katalah ibu
meninggal dahulu, dan bapa masih terlantar sakit, anak-anak tesebut sudah
mendapat harta pusaka ibunya. Di sini kalau bapa yang terlantar sakit itu dijaga
oleh anak perempuan, anak lelakilah yang perlu membiayai rawatan bapanya itu.
Namun tidak salah anak-anak lain turut membantu.
Soalan3
Perlukah diletakkan
gelaran haji apabila seseorang itu telah menunaikan ibadah haji? Bagaimana
kalau dia tidak mahu meletakkan gelaran itu kerana takut riyak.
Jawapan:
Sesiapa sahaja yang
pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji atau umrah, orang Arab termasuk polis
akan memanggil mereka “ya haj” maknanya wahai haji. Maknanya kalau buat
umrahpun akan dipanggil haji juga. Bukan sahaja orang Melayu, semua bangsa yang
berada di sana akan dipanggil haji.
Haji maknanya orang
yang telah menunaikan hajat mengerjakan haji atau umrah. Kalau begitu, orang yang
balik daripada buat umrah boleh juga dipanggil haji iaitu orang yang telah
menunaikan hajat mengerjakan umrah. Cuma budaya kita di sini tidak memanggil
haji kepada mereka yang pergi buat umrah.
Berbalik kepada
soalan di atas, perlukan diletakkan gelaran haji, maka jawapannya, terpulang
kepada individu yang terbabit. Kalau kita nak letakkan haji di hadapan nama
kita, lakukanlah. Kalau kita tidak mahu letakkan pun silakan. Semua itu harus
di sisi Islam.
Sebenarnya walaupun
seseorang itu tidak meletakkan haji di hadapan namanya, tidaklah menghilangkan
haji yang dilakukan itu. Tetapi biasanya orang yang sudah mengerjakan haji,
akan dipanggil haji walaupun pada namanya tidak ditulis haji. Di sini kalau
orang panggil kita haji, bersyukurkan kerana dia terus mendoakan kita.
Di sini tidak timbul
isu riak kalau meletakkan perkataan haji pada namanya. Tidak ada apa-apa yang
harus dibanggakan dengan kemampuan kita mengerjakan haji. Jadi, title haji itu
tidak akan menjadikan seseorang itu riyak, sebaliknya satu tanda kesyukuran.
Tetapi kalau tidak mahu meletakkan haji kerana takut riyak adalah dibimbangkan
rasa itu sudah menjadi riyak. Inilah sifat mazmumah yang seharusnya
ditinggalkan.
Soalan 4
Saya mempunyai anak
luar nikah atau tak sah taraf. Kami merancang hendak mengahwinkan dia pada masa
yang terdekat ini. Yang menjadi persoalan kami, kami takut untuk memberitahu
status itu kepadanya takut dia lari dari rumah kerana malu dan marah kepada ibu
bapanya. Apakah jalan terbaik untuk mendapat wali anak kami ini?
Jawapan:
Inilah yang dikatakan
nasi sudah menjadi bubur. Sesuatu yang sudah terjadi ini sudah tidak boleh
ditarik balik kepada asal. Namun dalam keadaan ini, tidak gunalah disalahkan
sesiapa melainkan diri sendiri. Sebaiknya semua pihak yang terlibat segera
memohon ampun kepada Allah dan bertaubat dengan taubat nasuha.
Memanglah dalam kes
ini, nasi yang menjadi bubur itu tidak boleh dikembalikan kepada nasi, tetapi
bubur itu masih boleh dimakan malah kalau kena cara prosesnya lebih sedap
dimakan. Jadi, jangan sesali nasi yang sudah menjadi bubur itu. Bubur itu boleh
menjadi lebih baik dengan sedikit garam, ikan bilis, daun bawang dan
sebagainya. Tetapi kalau kita marah dengan sebab itu, lalu dicurahkan ke tanah
tentulah membazir namanya.
Sebenarnya anak tak
sah taraf yang diibaratkan sebagai bubur itu tidak ada apa salahnya. Status
anak itu sama seperti anak orang lain di sisi Allah, cuma di sisi undang-undang
dia hanya ada ibu dan tidak ada bapa. Maka kalau dia anak perempuan, akan
dinikahkan dengan menggunakan wali hakim.
Tetapi percayalah jika
anak ini dididik dengan sempurna diberikan ilmu agama yang betul dan dipelihara
maruahnya, pasti dia akan menjadi seorang wanita yang solehah. Kemudian setelah
anak itu mula memasuki alam baligh, hendaklah dijelaskan statusnya agar dia tidak
terkejut. Gunalah pendekatan berhemah dalam menjelaskannya demi menjaga
maruahnya pada khalayak.
Tetapi kalau ibu
bapa terlalu merahsiakan statusnya, kononnya takut dia lari dari rumah dan
membenci ibu bapanya, ditakuti akan menjadi realti suatu hari nanti. Yalah,
kalau dua minggu sebelum berkahwin baru hendak diberitahu kedudukan sebenar,
tentulah dia akan jadi hysteria.
Jadi, jangan kerana takut
dengan bayang-bayang hasil perbuatan ibu bapa itu sendiri, anak menjadi mangsa
keadaan. Ingatlah menyimpan rahsia status itu boleh mencetuskan banyak lagi
masalah pada masa hadapan.
Merujuk kepada kes
di atas, adalah dinasihatkan ibu bapa terbabit meminta bantuan pegawai agama
yang arif mengenainya atau iman yang dihormati masyarakat. Semoga dengan itu
maruahnya akan terjamin pada masa hadapan.
Soalan 5
Saya telah lama
bercinta dengan seorang lelaki, setelah segala kepercayaan diberikan kepadanya,
kini dia menyatakan akan berkahwin dengan gadis lain. Saya yang kecewa dengan
keputusan itu mendoakan keburukannya. Wajarkah tindakan saya itu?
Jawapan:
Saya bersimpati atas
apa yang anda hadapi. Sememang begitulah keadaan orang yang bercinta. Waktu
suka segalanya diserahkan dan apabila benci segalanya ditarik balik tanpa ada
rasa kemanusiaan. Sesetengahnya maruah diri sanggup digadaikan hanya kerana
cinta, lalu selepas itu menyesal tak sudah-sudah.
Saya percaya anda
tidak sampai kepada menggadai maruah, tetapi harapan penuh telah dicurahkan
demi cinta. Oleh sebab itu cinta dalam Islam tidak seharusnya dilepas bebas
seperti orang yang sudah berkahwin. Malah, penggunaan telefon termasuk SMS juga
tidak dibenarkan menjadi alat perhubungan percintaan.
Sebenarnya, bahasa
cinta melalui telefon mahupun pertemuan langsung amat mengundang kepada maksiat
yang lebih besar. Hati yang berputik rasa rindu akan membawa kepada pertemuan
yang sulit. Semuanya berpunca daripada telefon. Oleh sebab itu Islam menyekat
percintaan sebegini.
Dalam keadaan inilah
kalau salah seorang kecewa kerana dikecewakan akan menderita batinnya. Apabila
ini terjadi, dendam akan membara lalu sanggup mendoakan keburukan pasangannya.
Inilah sebabnya mengapa percintaan sebegini dilarang oleh Islam.
Dalam kes ini adalah
disarankan anda bertaubat daripada dosa yang lalu. Lupakan kekasih yang palsu
itu dan kembali kepada cintakan Allah dan Rasul-Nya. Dalam Islam sifat
berdendam adalah dilarang tetapi sebaliknya berbuat baik kepada orang yang buat
jahat kepada kita. Jadi, doakan kebaikan untuknya semoga dengan itu Allah
gantikan dengan jodoh yang lebih baik daripadanya.